PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menganjurkan program membeli-belah raya khas dan iftar untuk anak-anak yatim dan asnaf, dalam usaha memastikan mereka juga dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna.
Pengerusi BPMB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, sebagai warganegara korporat yang bertanggungjawab, BPMB komited untuk memberi impak bermakna dalam komuniti yang syarikat layani.
“Majlis buka puasa ini mencerminkan komitmen kami terhadap keterangkuman, memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, dapat merasai kegembiraan Hari Raya Aidilffitri dengan rasa diterima dan kehangatan.
“Selain bantuan kewangan, program ini membolehkan kami mencipta kenangan yang kekal buat anak-anak ini sambil mengukuhkan nilai-nilai kesukarelawanan dan memberi kembali kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Program ini menerima kehadiran seramai 83 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia dan Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, yang dibawa untuk pengalaman membeli-belah Raya yang bermakna di AEON Mall Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Anak-anak ini diraikan dalam satu majlis Iftar di Menara Bank Pembangunan, di mana Ahli Lembaga Pengarah BPMB, pasukan kepimpinan kanan dan sukarelawan turut serta berbuka puasa bersama mereka.
Sebagai sebahagian daripada acara ini, BPMB menyampaikan cek bernilai RM25,000 setiap satu kepada kedua-dua rumah anak yatim, menyumbang sejumlah RM50,000 daripada dana CSR dan zakat.
Selain itu, setiap kanak-kanak menerima RM50 Duit Raya, menyebarkan kegembiraan perayaan.
Inisiatif ini selaras dengan Agenda 2025 BPMB yang memberi tumpuan kepada kelestarian, kepelbagaian dan keterangkuman mencerminkan komitmen bank terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), mengukuhkan peranannya dalam pembangunan negara. – UTUSAN