BNM isytihar dividen RM5.25 bilion kepada kerajaan - Utusan Malaysia

BNM isytihar dividen RM5.25 bilion kepada kerajaan

Abdul Rasheed Ghaffour (tengah) bersama Timbalan Gabenor Bank Negara, Jessica Chew Cheng Lian (dua dari kiri), Marzunisham Omar (dua dari kanan), Aznan Abdul Aziz (kiri) dan Adnan Zaylani Mohamad Zahid (kanan) menunjukkan Nota Laporan Tahunan pada sidang akhbar Laporan Tahunan Bank Negara 2024 di Sasana Kijang di sini, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) membayar dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada kerajaan selepas mencatat keuntungan bersih bernilai RM13.16 bilion bagi tahun kewangan 2024, berbanding RM7.16 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.91 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM.

Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada tahun 2024 dengan aset BNM berjumlah RM621.54 bilion pada 31 Disember 2024.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun ketidakpastian masih wujud pada peringkat global, BNM akan terus melaksanakan mandatnya dengan penuh dedikasi dan mengukuhkan kepercayaan rakyat.

Katanya, kepelbagaian struktur ekonomi negara dan dasar yang meluas menyediakan daya tahan dan ketangkasan untuk mengharungi rintangan ini.

“Kami yakin ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara keseluruhan.

“Dengan jangkaan keadaan dalam negeri yang menggalakkan, Malaysia harus meneruskan usaha pembaharuan struktur yang penting demi memastikan pertumbuhan yang mampan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Laporan Tahunan 2024 (LT 2024), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 (TEM 2024) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024) di Sasana Kijang di sini, semalam.

Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini, disokong faktor domestik yang positif meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

“Persekitaran luaran dijangka semakin mencabar pada tahun ini berikutan kebangkitan semula tindakan perlindungan, di samping konflik geopolitik yang berlarutan, sekali gus menimbulkan cabaran terhadap Malaysia sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka.

“Pengukuhan permintaan global khususnya akan bergantung pada perkembangan dalam sekatan perdagangan dan langkah tindakan balas yang dikenakan oleh negara ekonomi utama.

“Selain itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 2.0 hingga 3.5 peratus dan 1.5 hingga 2.5 peratus. Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik namun akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” ujarnya.

Menurut beliau, Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus kekal menyokong dan konsisten dengan penilaian semasa terhadap prospek inflasi dan BNM akan terus memantau persekitaran ekonomi seperti tarif global dan dasar monetari negara lain.

Ujarnya, pihaknya juga akan memantau langkah-langkah dasar domestik dan bagaimana ia memberi kesan dari segi penilaian, penyertaan dan prospek pertumbuhan.

“Jadi, ini adalah bidang yang kita lihat dari segi keputusan mengenai dasar pasaran. Adakah kadar semasa sebenarnya sesuai menyokong ekonomi.

“Dari segi faktor Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pula, dasar kita sebenarnya lebih dipacu oleh faktor domestik dan tidak kepada apa yang berlaku di luar sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya