PETALING JAYA: Birkin International Hotel (Birkin Hotel) komited menawarkan hospitaliti terbaik di Melaka dengan penggunaan teknologi baharu seperti robotik selain mengamalkan kelestarian untuk masa depan yang lebih hijau.
Pengurus Besar Birkin Hotel, Simon Tan berkata, penggunaan teknologi tinggi dan berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merupakan antara usaha pihaknya dalam menyokong usaha kelestarian negara.
“Ketika pembinaan hotel, kami telah pun memikirkan pelbagai usaha termasuk melabur untuk mesin pemprosesan air supaya kami boleh memproses air minuman dan membekalkan air bersih ke seluruh hotel.
“Selalunya proses pengeluaran air minuman di bilik hotel akan diuruskan oleh pihak ketiga dan kini kami mahu melakukannya sendiri.
“Projek ini adalah inspirasi ketika saya di China dan boleh dikatakan kami yang pertama memperkenalkan teknologi sama di negara ini. Pastinya saya yakin ia akan menjadi model dan perintis dalam industri ini sekali gus menjadi rujukan oleh pihak lain untuk melaksanakan pendekatan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya juga sudah membeli beberapa robot yang bakal digunakan untuk perkhidmatan bilik seperti menghantar makanan, tuala dan sebagainya.
“Pada awal pembukaan hotel, kami telah melabur untuk robot yang akan menghantar pesanan tetamu. Ia akan lebih memudahkan kerja kakitangan hotel dan menunjukkan imej hotel yang peka dengan teknologi baharu.
“Robot tersebut bakal digunakan tidak lama lagi selepas kami mengatasi beberapa isu teknikal,” ujarnya.
Selain itu, Simon berkata, Birkin International juga adalah hotel pertama yang melaksanakan pembungkusan makanan untuk diserahkan kepada bank makanan (food bank).
“Kami memiliki mesin khusus bagi makanan yang telah dimasak tetapi belum disentuh lagi jadi ia melalui satu proses dan dimasukkan dalam mesin berkenaan untuk dihidrat.
“Pek makanan tersebut boleh bertahan selama dua tahun dan ia akan diserahkan kepada pihak yang menguruskan Food Bank yang datang dari Putrajaya. Bekalan makanan ini sangat diperlukan dalam keadaan kecemasan dan kawasan bencana alam.
“Sisa makanan pula akan dimasukkan di dalam sebuah mesin dan diproses menjadi baja kemudian baja itu digunakan untuk semua tanaman, pokok bunga di sekitar hotel ini,” ujarnya. – UTUSAN