Biocon labur RM1.1 bilion, bakal pengeluar insulin terbesar dunia - Utusan Malaysia

Biocon labur RM1.1 bilion, bakal pengeluar insulin terbesar dunia

LEE Ting Han (tengah)diberi penerangan tentang operasi Biocon semasa melawat syarikat tersebut di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Syarikat biofarmaseutikal berpangkalan di India, Biocon Sdn. Bhd. (Biocon) bakal menambah pelaburan bernilai RM1.1 bilion dalam pembangunan fasiliti insulin baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, pelaburan tersebut menjadikannya pengeluar insulin terbesar dunia dan pelaburan fasa kedua oleh syarikat itu bakal menawarkan lebih 300 pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat.

“Pelaburan dan inisiatif Biocon ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi tempatan, malah menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi utama di Asia.

“Sejak 2016, mereka telah menyediakan lebih 87 juta kartrij insulin kepada Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus memberi manfaat kepada 300,000 pesakit diabetes di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat fasiliti tersebut, di sini semalam.

Kehadiran syarikat tersebut telah mengurangkan sehingga 40 peratus harga insulin di negara ini, sekali gus meringankan beban kos rawatan bagi rakyat.

“Selain pelaburan dan peluang pekerjaan, Biocon juga komited dalam pembangunan bakat tempatan menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Newcastle University dan agensi-agensi kerajaan.

“Usaha dibuat menerusi Biocon Academy bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan dalam sektor bioteknologi secara tidak langsung memastikan kelestarian dan pertumbuhan industri ini di Malaysia,” katanya.

Ting Han memaklumkan, Biocon telah melabur RM1.6 bilion dalam fasa pertama penubuhan fasiliti tersebut dengan penawaran hampir 900 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Lebih 97 peratus peluang kerja itu diisi oleh rakyat Malaysia, khususnya penduduk Johor. Majoriti jawatan tersebut memerlukan kelayakan dalam bidang bioteknologi, sains, kejuruteraan atau kemahiran khusus lain.

“Ini menunjukkan impak besar pelaburan syarikat tersebut terhadap pembangunan modal insan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya