PETALING JAYA: Axiata Group Bhd (Axiata) dan Sinar Mas (Sinar Mas) mengumumkan pemegang saham PT XL Axiata Tbk (XL Axiata), PT Smartfren Telecom Tbk (Smartfren) dan PT Smart Telcom (SmartTel) secara rasminya meluluskan penggabungan tiga syarikat itu, menandakan pencapaian penting dalam sektor telekomunikasi di Indonesia.
Kelulusan itu diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Pemegang Saham (EGMS) oleh XL Axiata, Smartfren dan SmartTel.
Ia susulan kelulusan kawal selia secara prinsip daripada Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia serta kelulusan Bursa Saham Indonesia (IDX) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK), mengukuhkan lagi sokongan institusi untuk konsolidasi strategik.
Pengerusi Sinar Mas Telecommunications & Technology, Franky Oesman Widjaja berkata, penggabungan itu adalah langkah penting ke arah mewujudkan industri telekomunikasi yang lebih mantap di Indonesia.
Jelasnya, dengan menggabungkan infrastruktur kukuh XL Axiata dengan perkhidmatan digital tertumpu pelanggan Smartfren, XLSMART akan menawarkan penyelesaian ketersambungan yang dipertingkatkan yang memperkasakan pengguna dan perniagaan sambil menyokong aspirasi digital jangka panjang negara.
“Ini peluang memajukan ekonomi digital Indonesia, memastikan pelanggan, rakan kongsi dan pemegang taruh mendapat manfaat daripada peningkatan kecekapan, liputan yang lebih luas dan kualiti perkhidmatan yang unggul,” katanya dalam kenyataan.
Dengan asas pelanggan melebihi 94.3 juta, unjuran pendapatan tahunan sebanyak 45.8 trilion rupiah dan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 22.5 trilion rupiah, XLSMART berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya dalam sektor telekomunikasi Indonesia.
Penggabungan mercu tanda itu juga dijangka merealisasikan sinergi kos yang ketara, dengan anggaran sinergi kadar pracukai tahunan sebanyak AS$300 (RM1,327) hingga AS$400 juta (RM1,770) selepas penggabungan selesai.
Selepas penggabungan selesai, Axiata Group dan Sinar Mas akan menjadi pemegang saham kawalan bersama, dengan masing-masing memegang 34.8 peratus kepentingan dalam XLSMART, selain pengaruh yang sana ke atas hala tuju strategik dan keputusan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group, Vivek Sood berkata, penggabungan itu menandakan detik penentu dalam landskap digital Indonesia dan keyakinan pemegang saham meluluskan transaksi itu menggariskan visi syarikat untuk membina entiti telekomunikasi yang lebih kukuh dan berdaya tahan yang memberikan nilai melalui skala, kecekapan dan inovasi.
Katanya, dengan XLSMART, pihaknya bersedia untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, mengembangkan perkhidmatan digital dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital di Indonesia.
“Ia bukan saja menggabungkan dua perniagaan tetapi turutmewujudkan syarikat baharu yang berpandangan ke hadapan yang akan menetapkan penanda aras dalam inovasi, kualiti perkhidmatan dan kecemerlangan operasi.
“Kami percaya gabungan perniagaan ini akan membolehkan kemajuan kedudukan kewangan industri yang lebih baik, dan yakin XLSMART akan muncul sebagai pemain yang hebat, membolehkan kami mempercepatkan pelaburan dalam infrastruktur dan inovasi digital dengan ketara, dan akhirnya memperkasakan komuniti,” katanya.
Bagi mengukuhkan kerjasama melangkaui XLSMART, Axiata dan Sinar Mas menandatangani dua Surat Hasrat (LOI), pada majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Kuala Lumpur.
LOI itu meletakkan asas untuk kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua syarikat, memfokuskan pada potensi sinergi di Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara.
Perjanjian itu membayangkan usaha bersama dalam penyelesaian 5G termaju, perkhidmatan perusahaan, infrastruktur digital dan inovasi fintech, menyokong matlamat yang lebih luas untuk mempercepatkan transformasi digital di seluruh rantau ini.
Sebagai sebahagian daripada kepimpinan syarikat yang baharu ditubuhkan, Rajeev Sethi dilantik sebagai Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, disokong oleh pasukan eksekutif yang mantap yang merangkumi sembilan pengarah dan sembilan pesuruhjaya, memastikan perwakilan yang seimbang daripada XL Axiata dan Smartfren. – UTUSAN