Agihan pendapatan ASB 2 5.50 sen seunit, ASM 5.00 sen 

Agihan pendapatan ASB 2 5.50 sen seunit, ASM 5.00 sen 

PENGAGIHAN pendapatan ASB 2 dan ASM bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) masing-masing sebanyak 5.50 sen dan 5.00 sen seunit, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.18 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, ASB 2 mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.73 bilion kepada 614,309 pemegang unit yang kini memiliki 14.12 bilion unit.

Sementara itu, ASNB berkata, ASM mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.45 bilion kepada 740,513 pemegang unit dengan pegangan 29.14 bilion unit. 

“Sehingga 20 Mac 2025, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.80 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.55 bilion. 

“Walaupun berdepan persekitaran pasaran modal global yang mencabar ekoran ketegangan tarif, inflasi yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi, pengagihan pendapatan bagi ASB 2 sebanyak 5.50 sen seunit dan ASM sebanyak 5.00 sen seunit mencatat peningkatan sebanyak 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

ASNB berkata, dana-dana ini juga telah menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu, mencerminkan komitmen PNB untuk meningkatkan pulangan dan memperkukuh daya tahan portfolio. 

Jelasnya, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.56 peratus sebanyak 294 mata asas untuk ASB 2 dan 244 mata asas untuk ASM. 

“Prestasi kukuh kedua-dua dana harga tetap ini didorong oleh pulangan ekuiti domestik dan global yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan merentasi geografi dan kelas aset. 

“Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten,” ujarnya.

Tambahnya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana. 

Jelasnya, pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2025. 

“Urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan-cawangan dan ejen-ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac 2025 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan. 

“Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2025, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 2 April 2025 (tertakluk pada perubahan Hari Raya Aidilfitri),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN