Affin Bank, MUFG Bank kerjasama pacu empat sektor utama

Affin Bank, MUFG Bank kerjasama pacu empat sektor utama

WAN Razly Abdullah (dua dari kiri) dan Motohide Okuda pada majlis menandatangani MoU antara Affin Bank dan MUFG Bank di Menara Affin hari ini.-UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan MUFG Bank (Malaysia) Berhad, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group, Inc. (MUFG), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama perniagaan dan memacu peluang pertumbuhan bersama dalam empat sektor utama.

Empat sektor tersebut meliputi kemajuan perubatan, industri semikonduktor, tenaga hijau dan pelancongan antara Malaysia dan Jepun.  

Melalui kerjasama itu, Affin Bank dan MUFG akan memacu kerjasama dalam sektor strategik yang sejajar dengan pelan induk perindustrian Jepun dan Malaysia.  

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama ini memberi fokus kepada meningkatkan nilai dan memperkukuh kemampuan perbankan kedua-dua negara dalam sektor strategik berkenaan.  

“Kami berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan MUFG, sebuah bank global yang memiliki jaringan luas di Asia Tenggara, termasuk di Indonesia, Thailand, dan Singapura. 

“Jaringan ini akan meluaskan capaian Afin Group, sekali gus membolehkan kami menawarkan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada pelanggan di Malaysia dan rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara kedua bank itu di sini hari ini. 

Beliau tmenekankan bahawa Malaysia memiliki potensi pertumbuhan tinggi dalam empat sektor utama tersebut.  

“Tenaga hijau di Malaysia dianggarkan bernilai berbilion ringgit, belum termasuk sektor pelancongan perubatan dan industri semikonduktor. Ini membuka peluang besar bagi Affin Group dan MUFG untuk berkembang bersama,” katanya.  

Mengulas mengenai sasaran kerjasama itu dalam tahun pertama, beliau berkata, kedua-dua pihak komited untuk mencapai perjanjian bernilai jutaan dolar di Malaysia, walaupun buat masa ini belum menetapkan sasaran keuntungan khusus.  

“Setakat ini, kami belum memfokuskan kepada keuntungan, namun kami menyasarkan untuk mencapai perjanjian bernilai jutaan dolar di Malaysia.  

“Kerjasama ini membolehkan kedua-dua kumpulan berkongsi kepakaran serta menyediakan penyelesaian pembayaran dan perkhidmatan yang komprehensif.  

“Buat masa ini, kami belum menetapkan sasaran keuntungan yang spesifik kerana ini adalah langkah permulaan,” katanya. 

Tambahnya, kerjasama strategik antara Afin Group dan MUFG itu adalah eksklusif untuk tempoh tiga tahun dengan fokus utama memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi penyelesaian perbankan inovatif dan pembangunan sektor berimpak tinggi. 

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Wan Razly dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Malaysia MUFG, Motohide Okuda, sambil disaksikan oleh Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt; Pegawai Eksekutif Kanan dan Ketua Eksekutif APAC MUFG, Masakazu Osawa dan Pengerusi MUFG Bank (Malaysia) Bhd, Datuk Noorazman Abd Aziz.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya