MUKADIMAH
INDUSTRI pembinaan global semakin ligat mengadaptasi teknologi hijau, memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengurangkan jejak karbon pada 2025.
Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), data besar dan automasi yang semakin mendapat perhatian, penilaian karbon dilihat berpotensi menjadi lebih tepat dan efektif.
Negara-negara maju juga dijangka meningkatkan komitmen mereka terhadap kelestarian dengan menetapkan sasaran karbon yang lebih bersasar dan memperluaskan insentif kewangan untuk projek mesra alam dalam tahun 2025.
Bagaimana pula usaha yang dijalankan di Malaysia?
Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi berpeluang menemu bual Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom dan Penyelidik Utama,
CSIEM, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Goh Kai Chen mengupas mengenai industri pembinaan yang merupakan penyumbang utama kepada pelepasan karbon global, di mana ia menyumbang hampir 39 peratus daripada pelepasan karbon dioksida yang berkaitan dengan tenaga di seluruh dunia.
UTUSAN: Bagaimana pihak pakar melihat industri pembinaan di negara ini?
PAKAR: Projek pembinaan berskala besar, seperti pembangunan infrastruktur, kompleks komersial dan perbandaran kediaman telah memburukkan lagi beban alam sekitar akibat penggunaan bahan yang tinggi, proses yang memerlukan tenaga yang intensif dan penghasilan sisa bahan binaan yang tidak terkawal.
Oleh itu, penilaian jejak karbon dalam projek-projek ini telah menjadi alat penting dalam mengurangkan perubahan iklim, menggalakkan pembangunan lestari dan mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa.
Penilaian jejak karbon dalam projek pembinaan juga melibatkan pengukuran pelepasan gas rumah kaca (GHG) sepanjang kitaran hayat sesebuah bangunan atau infrastruktur.
Apakah usaha yang perlu dilakukan?
Beberapa metodologi telah diterapkan secara global untuk mengukur dan mengurangkan pelepasan karbon dengan berkesan.
Pelbagai usaha giat dijalankan melalui kajian-kajian penyelidikan oleh university tempatan mahupun antarabangsa seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTHM, The Bartlett School of Sustainable Construction, University College London (UCL), MIT’s Concrete Sustainability Hub, Massachusetts Institute of Technology (MIT), USA, dan The Sustainable and Healthy Environments (SHE) Lab, University of Melbourne.
Apakah metodologi utama yang digunakan untuk menilai impak terhadap alam sekitar?
Penilaian Kitaran Hayat (LCA) merupakan metodologi utama dalam menilai impak alam sekitar dari peringkat pengekstrakan bahan mentah, pembuatan, pengangkutan, pembinaan, operasi dan fasa perobohan.
Piawaian ISO 14040 dan ISO 14044 menyediakan garis panduan untuk pelaksanaan LCA.
Selain itu, alat pengukuran karbon seperti Kaedah Penilaian Alam Sekitar Penyelidikan Bangunan (BREEAM), Protokol Gas Rumah Kaca (GHG), dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) digunakan secara meluas dalam menilai jejak karbon terutamanya dalam industri pembinaan.
Analisis penggunaan bahan dan tenaga juga merupakan aspek kritikal, mengenal pasti bahan yang menggunakan tenaga tinggi seperti simen, keluli dan aluminium yang menyumbang secara signifikan kepada pelepasan karbon.
Tambahan pula, integrasi teknologi digital seperti AI, IoT, Machine Learning, Cloud Computing, Digital Twin dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) membantu dalam pemodelan ramalan pelepasan karbon, membolehkan jurutera mereka bentuk alternatif rendah karbon sebelum pembinaan bermula.
Bagaimana pula jejak karbon dalam perolehan pembinaan?
Penerapan penilaian jejak karbon dalam proses perolehan pembinaan telah menjadi pendekatan asas dalam usaha mencapai matlamat kelestarian.
Pihak kerajaan dan pemaju swasta mengintegrasikan keperluan pengurangan karbon dalam dasar perolehan dalam usaha ke arah menggalakkan amalan pembinaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Salah satu pendekatan utama ialah penggunaan Dasar Perolehan Hijau, di mana kontraktor dan pembekal dikehendaki memenuhi piawaian kelestarian yang telah ditetapkan.
Projek sektor awam, terutamanya di Kesatuan Eropah, UK dan Australia telah melaksanakan kriteria tender berasaskan karbon, di mana pembida mesti menunjukkan usaha untuk mengurangkan karbon dalam bahan dan proses pembinaan.
Bukan itu sahaja, penilaian karbon sepanjang hayat semakin menjadi penanda aras dalam keputusan perolehan.
Kaedah ini menilai pelepasan karbon dari peringkat sumber bahan sehingga ke fasa akhir hayat sesebuah struktur, membolehkan pemilihan bahan dan teknik pembinaan yang lebih bijak.
Di negara membangun seperti Malaysia dan China, rangka kerja perolehan lestari sedang giat diperkasakan.
Bagaimana pula pembabitan pihak swasta dan negara lain?
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggalakkan perolehan lestari melalui Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan alat penilaian kelestarian, INFRASTAR.
Begitu juga, kerajaan China mewajibkan penggunaan bahan rendah karbon dalam projek infrastruktur awam untuk memastikan kelestarian diterapkan dalam kontrak perolehan.
Tambahan pula, program penglibatan pembekal telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk menggerakkan rantaian bekalan rendah karbon.
Bukan itu sahaja, malah syarikat pembinaan dan pembekal bahan binaan saling berganding bahu untuk mendapatkan bahan lestari, mempromosikan prinsip ekonomi kitaran dan mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui di tapak pembinaan.
Apakah cabaran dalam penilaian jejak karbon?
Walaupun CFA memainkan peranan penting, ia masih menghadapi pelbagai cabaran dalam projek pembinaan berskala besar.
Salah satu cabaran utama ialah ketersediaan dan ketepatan data, kerana mendapatkan data yang boleh dipercayai mengenai rantaian bekalan bahan, logistik pengangkutan dan pelepasan operasi masih sukar, terutamanya di negara membangun.
Selain itu, kos pelaksanaan yang tinggi juga menjadi halangan.Alat dan perisian penilaian jejak karbon memerlukan pelaburan kewangan yang besar, yang mungkin dianggap membebankan oleh sesetengah pemaju.
Selain itu, jurang peraturan dan kekurangan piawaian menyukarkan pelaksanaan CFA kerana banyak negara tidak mempunyai dasar mandatori yang mengawal selia penilaian jejak karbon, mengakibatkan amalan yang tidak konsisten dalam industri. Isu lain yang kritikal ialah kesedaran dan pematuhan pihak berkepentingan.
Apakah cadangan untuk memberi galakan kepada pihak terlibat untuk menerima amalan rendah karbon ini?
Kita perlu menggalakkan kontraktor, pembekal dan pemaju untuk menerima pakai amalan rendah karbon masih menjadi cabaran kerana isu persaingan ekonomi dan kekurangan insentif kewangan untuk pembinaan lestari.
Sebagai kesimpulannya, penilaian jejak karbon dalam projek pembinaan berskala besar adalah usaha yang signifikan ke arah mengurangkan kesan alam sekitar yang semakin tenat.
Pengintegrasian pertimbangan jejak karbon dalam proses perolehan penting dalam mendorong kelestarian merentas rantaian bekalan.
CFA perlu menjadi standard industri dalam membantu mencapai masa depan rendah karbon selain mengatasi cabaran berkaitan ketepatan data, kos, dan rangka kerja peraturan.
Gabungan kecerdasan manusia dan disokong dengan kecerdasan buatan dilihat satu tindakan bijak dalam usaha mitigasi cabaran jejak karbon ini agar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten dalam tahun 2025. – UTUSAN