Tealive berkembang ke pasaran India - Utusan Malaysia

Tealive berkembang ke pasaran India

BRYAN Loo (empat dari kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif DIL Virag Joshi (lima dari kiri) menunjukkan perjanjian francais dengan diiringi oleh pengurusan tertinggi Loob Holding dan DIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Loob Holding Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian francais induk dengan pengendali Restoran Perkhidmatan Segera (QSR) terkemuka di India, Devyani International Limited (DIL), untuk membawa jenama Tealive ke India.

Jenama teh gaya hidup terkemuka di serantau ini kini memasuki salah sebuah pasaran pengguna terbesar di dunia selepas kejayaannya menembusi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober tahun lalu.

DIL merupakan pemegang francais terbesar di India bagi Yum! Brands yang mengendalikan rangkaian KFC dan Pizza Hut serta pemegang francais eksklusif bagi kafe Costa Coffee di negara tersebut.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bryan Loo berkata, pihaknya yakin terhadap rangkaian luas dan kepakaran makanan dan minuman (F&B) DIL dalam menjadi asas kukuh untuk Tealive berkembang di India.

“Tealive akan membawa budaya teh gaya hidup inovatif kami ke India.

“Rakan kongsi kami mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai pasaran tempatan dan kami merancang untuk membina penjejakan yang kukuh di India dan ia bermula dengan pembukaan cawangan di bandar-bandar utama tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Dengan lebih 950 cawangan di Asia Tenggara, Mauritius, Kanada dan terbaharu di Timur Tengah, Tealive kini sedia untuk membawa gabungan unik teh dan budaya minuman inovatif ke India.

Jelas Bryan, India menawarkan potensi pasaran yang besar bagi teh gaya hidup dalam kalangan orang muda.

“Justeru, penjenamaan kukuh Tealive dan daya tarikan Asia Tenggaranya menjadi kelebihan jenama tersebut yang strategik.

“Walaupun jenama tempatan dan kedai individu mendominasi landskap teh di India, menu yang pelbagai serta inovasi minuman Tealive akan memenuhi citarasa dan selera pengguna yang semakin berkembang.

“Kerjasama dengan pengendali tempatan yang kukuh seperti DIL memberi kami keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang di India sambil memperkenalkan gaya hidup Tealive kepada jutaan pengguna baharu,” katanya.

Beliau berkata, Tealive akan meneruskan strategi serantau sedia ada dengan memulakan secara berkecil-kecilan dan berkembang pesat dalam keadaan pasaran yang sesuai.

“Disebabkan pengetahuan tempatan, pengalaman industri dan rangkaian luas rakan kongsi, kami berada di kedudukan terbaik untuk berkembang dengan cepat dan mempromosikan budaya teh gaya hidup unik kami di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif di DIL, Ravi Jaipura berkata, pihaknya berbesar hati memperkenalkan Tealive, sebuah jenama Asia yang kukuh, ke India sebuah negara yang terkenal dengan tradisi budaya teh yang kaya.

“Pilihan teh gaya hidup Tealive yang pelbagai ini selaras dengan cita rasa golongan muda India yang semakin berkembang dan juga lebih tertarik dengan kategori minuman baharu.

“Bersama-sama, kami bersedia untuk mentakrif semula dan mengubah pengalaman teh di pasaran India yang dinamik,” katanya.

DIL turut memiliki jenama tempatan tersendiri termasuk Vaango yang merupakan destinasi makanan sayuran India Selatan terkemuk,a dan The Food Street, sebuah konsep medan selera yang menampilkan pelbagai jenis makanan.

DIL mengendalikan lebih daripada 2,000 cawangan merentasi pelbagai jenama di India, Thailand, Nigeria dan Nepal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya