SME Venture@ASEAN 2025 sasar RM300 juta jualan - Utusan Malaysia

SME Venture@ASEAN 2025 sasar RM300 juta jualan

Datuk Ewon Benedick (tengah), menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) Program Export Accelerator (EAP) antara SME Corp. Malaysia yang diwakili oleh Rizal Nainy dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Suhaimi Kasdon. UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SME Corp. Malaysia menganjurkan SME Venture@ASEAN 2025 dengan potensi jualan sehingga RM300 juta untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Program itu akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Ia merangkumi pameran segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) untuk sektor berimpak tinggi seperti elektronik, peranti perubatan, aeroangkasa dan industri halal, serta segmen perniagaan-ke-pengguna (B2C) yang menampilkan ASEAN Market Fair dengan pelbagai produk pengguna.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu penting untuk memperkukuh keupayaan PKS ke peringkat global.

Beliau berkata, dengan tema Bringing ASEAN Closer to You, acara ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dan 300 pempamer dari seluruh ASEAN.

“SME Venture@ASEAN 2025 bukan sekadar acara pameran, tetapi satu platform komprehensif dengan sesi padanan perniagaan yang akan membantu PKS mendapatkan akses lebih luas ke pasaran ASEAN.

“Malaysia juga komited untuk membawa masuk syarikat utama dan pembeli bukan sahaja dari negara-negara anggota ASEAN, tetapi juga dari negara-negara rakan kerjasama Malaysia seperti Turkiye, Jepun, Arab Saudi, Oman, Georgia dan Kazakhstan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pra-Pelancaran SME Venture 2025 di sini, semalam.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) Program Export Accelerator (EAP) antara SME Corp. Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi membantu PKS menembusi pasaran Jepun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, PKS perlu bersedia meneroka pasaran luar dengan menanda aras kemampuan mereka setanding pesaing antarabangsa.

“PKS bukan sahaja perlu memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran domestik bagi melindungi prospek mereka dalam liberalisasi lanskap ekonomi, tetapi pada masa yang sama juga harus bersedia untuk meneroka peluang perniagaan baharu di luar negara.

“Mereka mesti menanda aras diri dengan pesaing antarabangsa dan bersedia untuk menerima amalan terbaik, melengkapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran teknikal yang diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya