PETALING JAYA: SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah berjaya menyalurkan kira-kira RM3.6 bilion dalam pembiayaan yang diluluskan untuk Tahun Kewangan 2024 dengan peningkatan sebanyak 35.1 peratus berbanding 2023.
lanya telah disalurkan kepada golongan sasar Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memerlukan, merangkumi sektor strategik utama termasuk Bumiputera, Teknologi & Digital, Peralihan Hijau, Halal dan Pelancongan.
Inisiatif ini adalah sejajar dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia yang menitikberatkan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dalam memberi impak pembangunan yang lebih meluas.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, selaras aspirasi Kerajaan MADANI, SME Bank terus memacu inisiatif pertumbuhan berimpak tinggi.
“Sebagai DFI yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan diselia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah sokongan pembangunan kapasiti untuk PMKS di setiap peringkat pertumbuhan mereka.
“Ia daripada usahawan Asnaf pada peringkat awal, sehingga kepada pengeksport yang ingin berkembang maju ke pasaran global.
“Kami berbangga menjadi satu-satunya DFI yang menyediakan sokongan kewangan dengan program pembangunan kapasiti berstruktur yang memastikan daya tahan perniagaan jangka panjang.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen kami dalam menggerakkan peruntukan RM1.7 bilion daripada Belanjawan Negara 2024 yang disasarkan kepada segmen PMKS,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, SME Bank telah memberi kesan positif kepada hampir 3,400 usahawan pada 2024 melalui program kapasiti dan keupayaan, melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR).
“Kami juga berjaya mengukuhkan lagi kedudukan SME Bank di peringkat global dengan pelantikan CEDAR sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN (COE) bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, yang telah disenarai pendek sebagai salah satu Penyampaian Keutamaan Ekonomi (PDE) untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025.
“Selain itu, CEDAR juga menganjurkan Bengkel Perdagangan dan Pelaburan Rentas Sempadan untuk Perniagaan ASEAN dan Hong Kong pada 2024, menandakan pengukuhan kehadiran SME Bank di peringkat antarabangsa.
“Dipacu oleh pencapaian ini, kami berbesar hati menerima amanah daripada Kerajaan dengan peruntukan pembinaan kapasiti sebanyak RM2 juta yang telah diumumkan pada Belanjawan Negara 2025 yang bakal digerakkan melalui CEDAR untuk PMKS di dalam segmen pembangunan tinggi,” katanya.
Berdasarkan indikator PMF, prestasi SME Bank sepanjang 2024 adalah selaras dengan mandatnya untuk memberi perkhidmatan kepada segmen yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan melalui pelbagai inisiatif.
“Ini termasuk program pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan dan pembinaan serta sektor utama lain, SME Bank turut memperkasa usahawan menerusi sesi libat urus, bimbingan berstruktur dan khidmat nasihat pakar yang telah memberi manfaat kepada hampir 18,000 usahawan.
“Inisiatif strategik SME Bank juga telah menyumbang kepada limpahan positif ke dalam ekonomi dengan lebih 100,000 jumlah pekerjaan dijangka diwujudkan dan dikekalkan,” katanya. – UTUSAN