SeRenE memeterai MoA dengan Megamas

SeRenE memeterai MoA dengan Megamas tumpu pembangunan kapal teknologi tinggi

ILUSTRASI artis kapal gentian optik dan kabel kuasa Megamas yang canggih direka untuk pemasangan dan penyelenggaraan kabel dasar laut teknologi terkini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semarak Renewable Energy Sdn. Bhd. (SeRenE), syarikat terkemuka dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Megamas Resources (Megamas), penyedia perkhidmatan marin dan luar pesisir yang berpangkalan di Singapura.

Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak akan menubuhkan syarikat usaha sama baharu, Semarak MIS Sdn. Bhd. (Semarak MIS), yang menumpukan kepada pembangunan kapal berteknologi tinggi dan cekap bahan api bagi pemasangan serta penyelenggaraan kabel tenaga luar pesisir serta kabel telekomunikasi gentian optik dasar laut.

Kerjasama ini menyokong perkembangan pesat sektor tenaga janaan angin luar pesisir dengan menyediakan pengurusan kabel kuasa ‘inter-array’ dan eksport yang penting untuk menghubungkan ladang tenaga elektrik janaan angin luar pesisir kepada grid elektrik. 

Pengarah Urusan SeRenE, Muhammad Shahil Ishak berkata, komitmen SeRenE terhadap kelestarian turut diperkuatkan dengan pengumuman projek hidrogen hijau di Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon dan memacu penyelesaian tenaga bersih di Asia Tenggara.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Megamas dan rakan strategik kami. 

“Gabungan kepakaran dalam tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur dasar laut ini akan mempercepatkan penyelesaian tenaga luar pesisir serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau untuk Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, MoA ini turut meningkatkan infrastruktur telekomunikasi serantau bagi memastikan sambungan yang lebih kukuh dan efisien di seluruh Asia Tenggara. 

Kapal mempunyai panjang kira-kira 120 meter dengan lebar 23 meter serta kapasiti muatan 8,000 tan (dwt). 

Direka dengan kerjasama Ulstein Design & Solutions dari Norway, kapal ini akan menggunakan teknologi reka bentuk badan kapal terkini bagi mengurangkan pergerakan dan meningkatkan kecekapan operasi, walaupun dalam keadaan laut bergelora. 

Dilengkapi dengan sistem Dynamic Positioning Class 2 (DP2), kapal ini mampu mengekalkan ketepatan dan kestabilan tinggi di persekitaran luar pesisir, termasuk di perairan cetek sedalam 15 meter. 

Operasi dijangka bermula pada pertengahan 2027.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Symphonet, Datuk Baharum Salleh pula menekankan, sebagai penyedia perkhidmatan internet terkemuka, pihaknya komited dalam meningkatkan pemasangan kabel dasar laut dan memperkukuh sambungan pusat data. 

“Inisiatif ini penting dalam mempertingkatkan infrastruktur telekomunikasi serantau dan menyokong pertumbuhan tenaga mampan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Megamas, Kapten Tiew Sien Kheng gembira berkata, pihaknya gembira dapat berganding bahu dengan SeRenE dalam menerajui transformasi tenaga hijau di Asia Tenggara. 

“Bersama-sama, kita mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian tenaga mampan dan memberi impak positif kepada alam sekitar serta ekonomi serantau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya