Sektor perkhimatan catat rekod tertinggi dengan hasil RM2.4 trilion - Utusan Malaysia

Sektor perkhimatan catat rekod tertinggi dengan hasil RM2.4 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Sektor perkhidmatan mencapai rekod tertinggi baharu dengan hasil RM2.4 trilion, mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus pada 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Prestasi itu didorong hasil bernilai RM627.9 bilion pada suku keempat 2024 dengan kadar pertumbuhan 6.2 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan 6.2 peratus ini disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan dalam semua segmen sektor perkhidmatan peningkatan. 

“Ini didorong oleh perkembangan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan, yang meningkat sebanyak RM24.3 bilion atau 5.4 peratus kepada RM475.2 bilion.

“Pertumbuhan sektor ini dipacu oleh peningkatan perbelanjaan pengguna, peningkatan aktiviti makan di luar dan kadar penginapan hotel yang lebih tinggi. 

“Selain itu, peningkatan sebanyak 17.0 peratus tahun ke tahun dalam ketibaan pelancong antarabangsa, dengan tambahan 2.5 juta pelancong, serta lonjakan perjalanan domestik semasa musim cuti turut menyokong pertumbuhan ini,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas Mohd. Uzir, prestasi sektor perkhidmatan turut diperkukuh oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan, yang meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.2 bilion pada suku tahun keempat 2024.

“Subsektor maklumat dan komunikasi mencatat pertumbuhan stabil, terutamanya dipacu oleh aktiviti telekomunikasi dan perkhidmatan komputer yang masing- masing berkembang sebanyak 3.3 peratus dan 5.0 peratus. 

“Kedua-dua aktiviti ini merangkumi 85.9 peratus daripada keseluruhan subsektor Maklumat & Komunikasi, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital, kadar penembusan internet yang lebih tinggi, serta penggunaan penyelesaian pengkomputeran awan yang lebih meluas. 

“Trend ini sejajar dengan usaha transformasi digital Malaysia dan hala tuju ke arah ekonomi berasaskan teknologi,” katanya. 

Mohd. Uzir berkata, subsektor pengangkutan dan penyimpanan turut mencatat pertumbuhan kukuh dengan aktiviti pengangkutan darat dan udara masing-masing meningkat sebanyak 10.0 peratus dan 9.3 peratus, disokong oleh kenaikan 12.8 peratus dalam trafik penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya