Sektor perdagangan borong, runcit melonjak ke paras tertinggi RM1.77 trilion - Utusan Malaysia

Sektor perdagangan borong, runcit melonjak ke paras tertinggi RM1.77 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit melonjak kepada paras tertinggi baharu kepada RM1.77 trilion pada 2024, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan pada Disember didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.

“Perdagangan borong mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM66.5 bilion, meningkat sebanyak RM3.6 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

“Perdagangan runcit pula merekodkan jumlah jualan RM65.8 bilion, meningkat RM3.4 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.4 peratus.

“Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jumlah jualan RM19.9 bilion, meningkat RM1.3 bilion, sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, perdagangan borong menunjukkan prestasi yang stabil, disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang berkembang sebanyak 3.6 peratus kepada RM24.7 bilion, terutamanya disokong oleh produk berkaitan petroleum.

“Selain itu, kumpulan jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 13.9 peratus kepada RM6.6 bilion.

“Sebahagiannya disokong oleh kenaikan harga minyak sawit mentah sebanyak 40.0 peratus, melebihi RM5,000 per tan untuk dua bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh Jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 6.3 peratus, didorong oleh pembelian bagi persediaan persekolahan, perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, Uzir Mahidin menjelaskan segmen ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM25.1 bilion dan jualan runcit di kedai pengkhususan yang berkembang 7.0 peratus kepada RM14.1 bilion pada Disember 2024.

“Lonjakan dalam aktiviti jualan runcit ini sebahagian besarnya didorong oleh musim cuti sekolah dan perayaan serta peningkatan pendapatan selari dengan pelarasan gaji fasa pertama Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Di samping itu, ketibaan 2.6 juta pelancong, termasuk 1.1 juta dari Singapura, turut memberi impak positif kepada semua aktiviti peruncitan.

“Jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan,” katanya.

Sementara itu, jualan runcit barangan isi rumah meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM7.6 bilion, didorong oleh permintaan pengguna yang lebih tinggi terhadap produk peralatan rumah dan gaya hidup.

“Dalam masa yang sama, subsektor Kenderaan bermotor mencatatkan jualan tertinggi mencecah RM10.8 bilion, meningkat sebanyak 3.6 peratus.

“Ini selari dengan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang melaporkan jumlah tertinggi sebanyak 81,735 kenderaan terjual, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 84,429 pendaftaran kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya