PETALING JAYA: Sektor industri Malaysia dijangka terus berkembang tahun ini, disokong oleh inisiatif kerajaan yang kukuh, kemajuan infrastruktur dan taman industri yang baru muncul yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), menurut Knight Frank Malaysia.
Firma perunding hartanah itu berkata, ketegangan perdagangan global, terutamanya kemungkinan kenaikan tarif di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, boleh mendorong pengeluar untuk mempelbagaikan asas pengeluaran mereka, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab industri strategik.
“Dengan ketidakpastian geopolitik dan ketegangan perdagangan dijangka menjadi tumpuan utama pada tahun ini, pengeluar mungkin akan memberi keutamaan kepada pengurusan risiko, pengurusan kos dan pasaran pengeluaran alternatif,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu turut menyatakan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peralihan ini disebabkan oleh lokasi strategiknya, insentif kerajaan yang kuat dan ekosistem industri yang sedang berkembang.
Laporan prospek Asia-Pasifik Knight Frank menyoroti peranan yang semakin berkembang bagi AI dan automasi dalam membentuk sektor industri, terutamanya dalam logistik, pergudangan dan pembuatan maju.
Pengintegrasian taman industri yang didorong oleh AI dijangka akan meningkatkan kecekapan operasi, penyelenggaraan ramalan dan usaha-usaha kelestarian, menjadikan Malaysia destinasi yang menarik untuk pelabur tempatan dan asing.
Pengarah Urusan kumpulan, Keith Ooi berkata, ketika Malaysia beralih ke hab pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi, syarikat menyaksikan peralihan kepada kemudahan industri yang lebih canggih yang sejajar dengan trend rantaian bekalan global.
“Taman industri yang mengintegrasikan AI akan menjadi pengubah permainan, menawarkan kecekapan operasi yang lebih baik, keupayaan penyelenggaraan ramalan, dan pengurusan sumber yang dioptimumkan, yang akhirnya akan menarik pelaburan langsung domestik dan asing,” katanya. – UTUSAN