Sektor huluan minyak dan gas dijangka kekal bekalan kukuh - Utusan Malaysia

Sektor huluan minyak dan gas dijangka kekal bekalan kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor huluan minyak dan gas (O&G) dijangka mengekalkan bekalan kukuh pada 2025 dengan aktiviti cari gali dan pengeluaran (E&P) serta pembangunan terus rancak, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd. 

Firma penyelidikan menyatakan, sektor ini juga akan meneruskan usaha mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan teknologi canggih dan kerjasama strategik.

Katanya, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) pula akan mempercepat aktiviti cari gali di kawasan baharu dan matang selain melaksanakan program bagi meningkatkan sumber dan mengekalkan pengeluaran. 

“Bahagian huluan dijangka memperluas sumbernya untuk memenuhi sasaran pengeluaran sambil mengurus pelepasan karbon dengan lebih cekap. 

“Sebanyak 69 telaga yang dibangunkan dijangka beroperasi menjelang tahun ini, menandakan permulaan fasa pembangunan E&P,” katanya dalam nota penyelidikan.

MIDF Research turut menyatakan usaha pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) akan diteruskan sebagai sebahagian daripada agenda peralihan tenaga dan penyahkarbonan, menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi penyelesaian CCS. 

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, lebih 400 telaga dijangka digerudi, 39 projek huluan dilaksanakan, 153 telaga ditinggalkan dan 38 kemudahan berkaitan dinyahaktifkan,” katanya. 

Sementara itu, sektor perkhidmatan dan peralatan O&G (OGSE) akan memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing mampan serta penyampaian projek yang berkesan, selain menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan di bahagian huluan. 

“Kami mengekalkan sentimen optimis terhadap sektor ini walaupun terdapat risiko ketidaktentuan harga minyak mentah akibat faktor geopolitik global, serta menjangkakan peningkatan pengeluaran di Amerika Utara dan Timur Tengah. 

“Kami juga yakin syarikat OGSE akan terus meraih manfaat daripada keutamaan Petronas terhadap penyelesaian huluan dan penyahkarbonan, dengan penekanan pada aktiviti E&P, pembangunan dan CCS,” katanya. 

Dalam pada itu, CIMB Securities Sdn. Bhd. turut berkongsi pandangan serupa dengan MIDF, mengekalkan saranan “overweight” atau wajaran tinggi ke atas sektor O&G dan menjangkakan momentum pendapatan yang kukuh pada 2025, dipacu oleh aktiviti huluan domestik yang mantap. 

“Kekurangan bekalan pasaran turut membuka peluang bagi pembinaan kapal bekalan luar pesisir serta kemudahan penyimpanan dan pemindahan terapung pada 2025,” katanya dalam nota tinjauan berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya