PETALING JAYA: Saham Malayan Banking Berhad (Maybank) jatuh serendah RM10.36 sen sesaham semalam, terendah dalam masa seminggu, susulan pengumuman penamatan perkhidmatan Khalijah Ismail sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.
Sehingga pukul 4.37 petang semalam, saham Maybank adalah kedua terbesar diniagakan dengan sebanyak 10.32 juta saham pada nilai dagangan sebanyak RM107.94 juta.
Bank terbesar negara dari segi aset itu didagangkan negatif apabila dibuka rendah enam sen pada RM10.50 sesaham berbanding RM10.56 ketika ditutup pada Isnin.
Maybank dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin memberitahu, penamatan perkhidmatan berikutan siasatan dalaman bank.
Susulan itu, Maybank dalam kenyataan berbeza mengumumkan pelantikan Malique Firdauz Ahmad Sidique sebagai pemangku CFO berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Maybank, Malique merupakan Ketua Pegawai Kewangan Maybank Islamic.
“Proses pemilihan CFO kumpulan yang baharu akan dimulakan segera dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, media tempatan melaporkan penganalisis menimbulkan kebimbangan mengenai piawaian tadbir urus di bank tersebut, berikutan penamatan terbabit.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Chan Jit Hoong yang mengikut taklimat penganalisis daripada bank tersebut berkata, pengurusan bank itu menawarkan sedikit butiran mengenai isu itu dan sahamnya mungkin masih mengalami reaksi yang mengejutkan.
Namun, beliau berkata, saham Maybank masih merupakan panggilan ‘beli’ dan saham itu tidak boleh diketepikan jangka pendek.
Penganalisis Affin Hwang Capital Tan Ei Leen pula berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak mengambil tindakan kawal selia berikutan penamatan perkhidmatan Khalijah sebagai CFO.
“Pengurusan (Maybank) menyebut bahawa ini adalah kes terpencil dan BNM telah dimaklumkan sewajarnya. Tiada tindakan kawal selia oleh BNM akan menyusul selepas peristiwa ini,” ujarnya. – UTUSAN