Ringgit mengukuh sejajar pertumbuhan ekonomi negara

Ringgit mengukuh sejajar pertumbuhan ekonomi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejajar dengan pertumbuhan positif ekonomi negara serta permintaan terhadap eksport pada suku keempat 2024.

Semalam, mata wang tempatan dibuka kukuh pada 4.4260/4330 berbanding dolar AS.

Ringgit kemudian mengakhiri dagangan pada 4.4300/4350 berbanding 4.4310/4385 pada penutupan Jumaat lalu.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, di luar negara peningkatan ringgit bergantung kepada petunjuk ekonomi penting seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pengukuhan ringgit juga dilihat bergantung kepada pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) yang mana masih di tahap rendah iaitu pada 3.0 peratus.

“Jika kenaikan OPR berlaku dalam tempoh jangka pendek ini, ia pastinya akan mengganggu pengukuhan nilai ringgit. Saya jangkakan ringgit akan berlegar pada RM4.30 sedolar AS pada pertengahan tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain itu, jelasnya, industri pelancongan yang semakin baik di Malaysia dan peningkatan pelancong asing memasuki negara ini turut membantu pengukuhan mata wang tempatan.

Menurutnya, cabaran kepada negara adalah untuk mengekalkan momentum kenaikan ringgit ini dalam jangka panjang yang mana ia perlukan petunjuk-petunjuk lain selain KDNK contohnya kestabilan politik serantau.

“Saya menjangkakan kenaikan KDNK pada 2025 masih lagi dalam jajaran yang sama iaitu 4.0 hingga 6.0 peratus memandangkan masih lagi tiada petunjuk ekonomi yang signifikan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, pengumuman KDNK 2024 sebanyak 5.1 peratus telah memberikan satu gambaran yang sangat positif kepada ekosistem ekonomi negara.

“”Pertumbuhan KDNK tersebut didorong keyakinan pelabur terhadap suasana iklim politik Malaysia yang memberi minat kepada pelabur untuk terus melabur di Malaysia dan pelabur baharu terus masuk membuat pelaburan ke Malaysia. Ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit

“Malah, permintaan eksport Malaysia yang positif berbanding import bagi sektor tertentu mendorong juga kepada pertumbuhan KDNK yang turut memberi kesan kepada pengukuhan ringgit.

“Selain itu pengumuman KDNK ini juga menunjukkan ringgit masih mampu mengukuh walaupun negara berhadapan dengan beberapa isu ekonomi global dan glokal hasil daripada polisi dan dasar oleh BNM seperti mengekalkan kadar OPR pada 3.0 peratus,” katanya.

Jumaat lalu, BNM mengumumkan KDNK 2024 Malaysia berkembang pada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus pada 2023.

Ringgit turut mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS pada 2024, sekali gus menjadi satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya