PETALING JAYA: RichTech Digital Berhad, sebuah syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan tambah nilai elektronik dan pembayaran bil di Malaysia, membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan cemerlang apabila dibuka 75 sen, premium 200 peratus berbanding harga terbitannya 25 sen sesaham.
Permintaan terhadap saham RichTech semasa tawaran awam permulaannya (IPO) juga tinggi, dengan permohonan daripada pelabur runcit individu terlebih langgan sehingga 245 kali.
Syarikat itu bermula pada tahun 2011 dengan mengedarkan tambah nilai elektronik untuk masa panggilan dan data mudah alih melalui sistem tambah nilai (mesej pesanan ringkas) SMS dan portal web onlinereload.net, yang kini dikenali sebagai Portal SRS.
Sejak itu, ia telah memperluaskan perkhidmatannya untuk merangkumi pembayaran bil utiliti, cukai tanah, serta kredit permainan.
IPO Richtech mengumpul hasil kasar sebanyak RM13.67 juta.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif RichTech, Wong Koon Wai mengulas, penyenaraian di Pasaran ACE merupakan satu pencapaian penting bagi RichTech apabila syarikat memulakan fasa pertumbuhan seterusnya.
“Pencapaian ini menekankan komitmen kami untuk menyampaikan penyelesaian yang inovatif dan boleh dipercayai bagi perkhidmatan tambah nilai elektronik dan pembayaran bil.
“Kami teruja dengan peluang yang bakal datang dan terus fokus untuk memacu inovasi, mengembangkan kehadiran pasaran kami, dan mencipta nilai yang lestari untuk pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.
Penyenaraian di Bursa Securities memberikan RichTech asas yang kukuh untuk mempercepatkan strategi pertumbuhannya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekosistem pembayaran digital.
RichTech telah memperluaskan perkhidmatannya untuk merangkumi pembayaran bil utiliti, cukai tanah dan penilaian serta kredit permainan.
Isu awam ini mengumpul hasil kasar sebanyak RM13.67 juta, di mana RM4.5 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti pemasaran, promosi dan kerjasama bagi mengembangkan pangkalan pengguna bagi Aplikasi SRS dan Portal SRS.
Selain itu, RichTech merancang untuk membelanjakan RM3 juta untuk memperoleh pejabat baharu bagi menggabungkan ibu pejabat dan pejabat cawangannya di bawah satu bumbung, dengan anggaran keluasan binaan sehingga 6,000 kaki persegi.
Baki dana akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja, termasuk membeli tambah nilai elektronik yang mewakili lebih 70 peratus daripada pembelian tahunan syarikat, serta menampung perbelanjaan penyenaraian yang dianggarkan. – UTUSAN