Reach Ten dilantik pengedar sah Starlink di Malaysia - Utusan Malaysia

Reach Ten dilantik pengedar sah Starlink di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpangkalan di Sarawak, Reach Ten Communication Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Reach Ten Holdings Berhad kini pengedar sah Starlink selepas pemeteraian perjanjian dengan SpaceX baru-baru ini.

Pelantikan syarikat yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu membolehkan ia menawarkan perkakasan dan perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink di seluruh Malaysia serta rantau ini, selain daripada perkhidmatan satelit sedia ada yang dioperasikan melalui Teleport Reach Ten di Kuching, Sarawak.

Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, pihaknya teruja mengembang kapasiti dengan mengguna Starlink untuk menyampaikan perkhidmatan jalur lebar kepada tiga peratus terakhir rakyat Malaysia yang tidak mempunyai akses kepada sambungan rangkaian internet.

“Ia akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia sehenti untuk perkhidmatan jalur lebar satelit, menyampaikan perkhidmatan internet yang lancar, berdaya tahan dan berkualiti tinggi kepada pelanggan di mana-mana lokasi di seluruh Malaysia.

“Reach Ten kini menyediakan perkhidmatan satelit jalur lebar ke lebih 1,200 lokasi di Malaysia dan sebagai pengedar rasmi Starlink, syarikat dapat mengembangkan perkhidmatan satelitnya untuk meliputi sektor maritim, minyak dan gas luar pesisir dan internet kebendaan (IoT),” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, dengan penambahan Starlink, syarikat akan membantu merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai 100 peratus liputan internet di seluruh negara melalui inisiatif seperti rancangan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan inisiatif SALURAN dan SMART Kerajaan Sarawak.

“Sebagai syarikat yang berpangkalan di Sarawak, kami berbangga dapat memainkan peranan penting dalam menyokong usaha dan inisiatif kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” ujarnya.

Reach Ten terbabit terutamanya dalam penyediaan rangkaian dan perkhidmatan komunikasi berasaskan satelit, rangkaian dan perkhidmatan komunikasi gentian optik, serta perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan terurus.

Syarikat dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai pembekal kemudahan rangkaian, pembekal perkhidmatan rangkaian dan pembekal perkhidmatan aplikasi untuk menawarkan rangkaian lengkap penyelesaian sambungan yang merangkumi perkhidmatan dan penyelesaian satelit, gentian dan terurus untuk syarikat telekomunikasi, korporat serta perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya