PTP tingkat keupayaan kendalian dengan 58 kren eRTG - Utusan Malaysia

PTP tingkat keupayaan kendalian dengan 58 kren eRTG

MARK Hardiman (dua dari kiri) dan Celilia Shen Qiu Yuan (dua dari kanan) menandatangani perjanjian jual beli 58 kren gantri beroda elektrik (eRTG) di premis PTP, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals melakukan pelaburan strategik dengan menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 58 kren gantri beroda elektrik (eRTG) dengan Shanghai Zhenhua Heavy Industry Co., Ltd. (ZPMC).

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kontrak bersama ZPMC itu merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat.

“Ini bagi memastikan PTP terus dilengkapi dengan jentera-jentera termoden untuk menyokong permintaan pelanggan dan kekal sebagai hab transshipment utama di Malaysia dan rantau ini.

“Pelaburan ini penting dalam menjamin ketersediaan dan keupayaan jentera eRTG dalam memenuhi perkembangan kapasiti, kestabilan operasi, kemampanan prestasi lapangan kontena dan penambahbaikan berterusan jentera-jentera eRTG sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, inovasi dan penambahbaikan berterusan merupakan agenda utama dalam strategi pertumbuhan dan kemajuan pihak syarikat dan usaha naik taraf jentera membolehkan PTP terus memberikan tahap perkhidmatan terbaik kepada para pelanggannya.

“Dalam masa sama kami juga mengekalkan tahap keselamatan tertinggi yang ditetapkan pihak pengurusan syarikat dan juga memenuhi permintaan rangkaian GEMINI yang baru dilancarkan.

“Dengan kren baharu, kami boleh mengurus permintaan pelanggan dengan lebih baik dan mengendalikan jumlah kargo yang lebih banyak, terutama di waktu puncak serta membolehkan operasi terminal berjalan dengan lebih lancar dan pantas.

“Selain itu, kren elektrik baharu ini juga sedia automasi dan boleh diselenggera semula untuk diautomatikkan sepenuhnya pada masa hadapan,” katanya

Beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan keupayaan operasi kendalian, PTP kekal komitmen terhadap agenda kemampanan syarikat, terutama terhadap inisiatif penyahkarbonan dan usaha kelestarian yang lebih luas melibatkan komuniti setempat, rangka kerja sosial dan tadbir urus beretika (ESG).

Naib Presiden ZPMC, Celilia Shen Qiu Yuan menyatakan penghargaan syarikatnya atas kepercayaan PTP dan turut mengulangi komitmen mereka untuk menyerahkan jentera yang dipesan mengikut jadual.

Kesemua kren baharu tersebut dijangka dihantar dalam lima fasa, dengan penghantaran dijadualkan antara Mac dan Julai 2026.

PTP telah berjaya mencatatkan beberapa rekod operasi sepanjang 2024 seperti menjadi terminal kontena pertama di Malaysia mencatatkan kendalian melebihi 12.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun.

Pencapaian ini merupakan sebahagian daripada prestasi cemerlang PTP yang turut berjaya mencatatkan kendalian melebihi satu juta TEU sebulan secara konsisten selama tujuh bulan berturut-turut sejak Mei 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya