Proton e.MAS buka 4 bilik pameran baharu di Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Proton e.MAS buka 4 bilik pameran baharu di Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat kenderaan tenaga baharu Proton, Pro-Net melancarkan bilik pameran Proton e.MAS di Sabah dan Sarawak, membawakan penyelesaian mobiliti elektrik yang canggih kepada para pelanggannya.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Tze telah merasmikan pembukaan bilik pameran Proton e.MAS milik Harapan Maju Sabah Sdn. Bhd di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Februari.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching, Datuk Wee Hong Seng melancarkan bilik pameran e.MAS oleh Melinau EV Sdn. Bhd. pada 11 Februari di Sarawak.

Perluasan rangakaian pengedar ini diteruskan dengan pembukaan bilik pameran Ghee Hua Co. Sdn. Bhd. di Sarawak pada 13 Februari, diikuti oleh Fook Loi Eurocar Sdn. Bhd. di Sabah pada 28 Februari 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya teruja untuk memulakan babak baharu bagi Proton e.MAS dengan pengembangan pusat pengedar ke Sabah dan Sarawak.

“Pembukaan rangkaian pengedar pertama proton e.MAS di Sabah dan Sarawak mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Dengan sokongan rakan kongsi yang kukuh, kami yakin pencapaian ini akan mempercepatkan revolusi kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, membawakan inovasi, kelestarian dan pengalaman pemilikan EV yang luar biasa kepada para pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pembukaan rangkaian pengedar baharu ini menegaskan komitmen berterusan Pro-Net dalam memperluaskan ekosistem EV di Malaysia.

Jelasnya, peluasan ke Sabah dan Sarawak bukan sekadar membawa teknologi automotif yang lestari dan inovatif, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pengenalan teknologi canggih.

“Bilik pameran moden ini direka bukan sahaja untuk mempamerkan teknologi kenderaan elektrik terkini dari Proton, tetapi juga berfungsi sebagai pusat utama bagi pendidikan dan interaksi kepada pelanggan.
“Rangkaian pengedar Proton e.MAS bertujuan untuk memberikan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan dengan mengintegrasikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan, memastikan sokongan jangka panjang kepada pemilik kenderaan EV ini.

“Dengan 37 pengedar Proton e.MAS di seluruh negara, Pro-Net terus berkembang pesat. Seiring dengan pertumbuhan jenama ini, ia membuka ruang untuk lebih banyak inovasi dan pengalaman berorientasikan pelanggan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya