Proses penggabungan CAAM, Mavcom berjalan lancar, dijangka tahun ini - Utusan Malaysia

Proses penggabungan CAAM, Mavcom berjalan lancar, dijangka tahun ini

HASBI Habibollah (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi pihak berkepentingan anjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggabungan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berjalan lancar dan dijangka siap pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perbincangan mengenai penggabungan itu berjalan dengan lancar dan keputusannya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Buat masa ini, semua pihak sedang menunjukkan kemajuan yang tinggi dan keputusannya akan diumumkan oleh MOT dalam masa terdekat,” katanya pada majlis apresiasi bagi pihak berkepentingan di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa aspek masih dalam perbincangan, termasuk pentadbiran, penstrukturan staf serta pengagihan tugas bagi memastikan kelancaran peralihan.

“Proses ini melibatkan banyak perkara seperti pengurusan kakitangan, penyesuaian gaji dan pembahagian peranan. Semuanya sedang diperhalusi supaya tidak menjejaskan industri penerbangan,” katanya.

Penggabungan tersebut susulan kelulusan Parlimen terhadap dua rang undang-undang pada 30 Julai lalu, iaitu Rang Undang-Undang Pindaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2024 dan Rang Undang-Undang Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2024.

Rang undang-undang kedua melibatkan pembubaran Mavcom sepenuhnya, dengan semua fungsi dan peranannya dipindahkan ke CAAM bagi memastikan satu badan tunggal bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan penerbangan di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, papan pemuka interaktif telah direka bagi pemahaman yang lebih mendalam mengenai data prestasi utama industri penerbangan, termasuk prestasi ketepatan masa penerbangan (OTP) dan pembatalan penerbangan.

Menurutnya, laman sesawang tersebut turut memberi penunjuk prestasi lapangan terbang yang sejajar dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QoS), yang menilai piawaian perkhidmatan di lapangan terbang Malaysia.

“Matlamat utama kami adalah untuk membangunkan industri penerbangan yang lebih berdikari dan mengamalkan kawal selia kendiri.

“Dengan berbuat demikian, kami bukan sahaja dapat menangani aduan pengguna penerbangan dengan lebih berkesan, tetapi ia juga dapat mengurangkannya secara keseluruhan.

“Kami sedar bahawa usaha ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, dan ia memerlukan sokongan serta kerjasama berterusan daripada pihak-pihak berkepentingan industri. Oleh itu, kami amat menghargai kerjasama yang telah diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya