Program Celik MADANI bantu pelajar IPT bina tabiat menyimpan

Program Celik MADANI bantu pelajar IPT bina tabiat menyimpan

DATUK Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud (dua, kanan), menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga, kiri) dan wakil universiti ketika Majlis Penyerahan MOU Program Celik Madani di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur di sini semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Celik MADANI dapat membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meningkatkan pelaburan seterusnya membina tabiat menyimpan sejak usia muda.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, generasi muda harus memiliki kesedaran kewangan yang tinggi dan mampu membuat keputusan kewangan yang bijak bukan sahaja dapat mengemudi kewangan diri sendiri dan keluarga tetapi diharap dapat memacu kewangan negara pada masa depan.

“Literasi kewangan amat penting bagi generasi muda lebih-lebih lagi kepada mahasiswa supaya mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik demi kesejahteraan diri mereka sendiri mahupun apabila mereka berkeluarga kelak.

“Saya juga mengharapkan mahasiswa digalakkan untuk mengikuti pendidikan literasi seperti yang dijalankan oleh oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB),” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik MADANI, di sini semalam.

Program Celik MADANI merupakan satu inisiatif kerajaan dengan kerjasama PNB, menyasarkan penglibatan seramai satu juta pelajar lPT dalam masa lima tahun mulai September 2025 secara berfasa.

Melalui inisiatif ini, ASNB menyumbang sebanyak RM25 dan kerajaan akan memadankan baki RM25 supaya setiap pelajar akan menerima RM50. 

Sebelum penghujung 2025, fasa pertama program Celik Madani dijangka selesai dan akan memberi manfaat kepada 200,000 orang pelajar.

Fasa pertama program ini melibatkan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping pelaburan-pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

Enam GLIC tersebut ialah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), PNB, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang akan bersama-sama mencapai matlamat ‘menaikkan siling’ dalam kedudukan ekonomi negara dan ‘menaikkan lantai’ iaitu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Amir Hamzah berkata, selaras dengan aspirasi ini, program-program pemerkasaan komuniti perlu dititikberatkan bagi memastikan keterangkuman semua lapisan masyarakat dalam usaha-usaha pembangunan ekonomi negara. 

“Justeru, mempersiapkan generasi muda kita dengan cara melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan perancangan kewangan, menyimpan dan melabur adalah amat relevan dan diperlukan sekali,” katanya. 

Pada 22 Ogos tahun lalu, inisiatif Celik Madani dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia. 

Inisiatif ini merupakan komponen utama dalam Program Literasi Kewangan PNB untuk golongan pelajar, selain daripada Kelab Pelaburan Bijak PNB di peringkat sekolah menengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya