PETALING JAYA: Produktiviti buruh per jam bekerja tumbuh 1.4 peratus pada suku tahun keempat 2024, mencatatkan RM44.2 setiap jam, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam penerbitan Statistik Produktiviti Buruh, Malaysia, Suku Tahun Keempat 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding 5.4 peratus pada suku tahun ketiga 2024, manakala jumlah jam bekerja meningkat 3.5 peratus bagi mencatatkan 9.7 bilion jam (ST3 2024: 2.7%; 9.7 bilion jam).
Katanya, jumlah pekerja menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.7 peratus, mencatatkan 16.8 juta orang (ST3 2024: 2.9 peratus; 16.7 juta orang) pada suku tahun keempat 2024.
“Sementara itu produktiviti buruh per pekerja meningkat 2.2 peratus untuk merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM25,647 seorang (ST3 2024: 2.4 peratus; RM25,081 seorang).
“Prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan pada 18.7 peratus (ST3 2024: 20.0 peratus), diikuti oleh sektor pembuatan pada 2.4 peratus (ST3 2024: 3.4 peratus) dan sektor perkhidmatan pada 0.9 peratus (ST3 2024: 1.4 peratus).
“Selain itu, sektor perlombongan dan pengkuarian dan sektor pertanian masing-masing merosot pada negatif 2.7 peratus (ST3 2024: -5.7 peratus) dan negatif 1.8 peratus (ST3 2024: 4.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, prestasi produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor perkhidmatan pada suku tahun keempat 2024 didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan (7.6 peratus), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.1 peratus), kewangan dan insurans (3.2 peratus), perkhidmatan lain (1.7 peratus) dan maklumat dan komunikasi (0.7 peratus).
Beliau berkata, tiga subsektor menunjukkan pertumbuhan negatif iaitu utiliti (-1.5 peratus), perdagangan borong dan runcit (-0.5 peratus) dan makanan & minuman dan penginapan (-0.5 peratus).
“Produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor pembuatan turut merekodkan peningkatan pada suku keempat 2024 disebabkan oleh pengembangan dalam semua subsektornya, termasuk produk elektrik, elektronik dan optikal (6.6 peratus); produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (5.1 peratus).
“Subsektor lain termasuk minuman dan produk tembakau (4.3 peratus), minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan (1.8 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (0.4 peratus); kecuali peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (-2.6 peratus) dan produk tekstil, pakaian dan kulit (-1.5 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja pada suku ini disumbangkan oleh pertumbuhan mampan dalam sektor pembinaan pada 19.7 peratus (ST3 2024: 18.9 peratus).
Jelasnya, ini diikuti oleh sektor pembuatan pada 3.0 peratus dan sektor Perkhidmatan pada 1.8 peratus, manakala sektor pertanian dan sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan masing-masing pada negatif 1.7 peratus dan negatif 1.3 peratus.
“Produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan yang baik ke arah prospek yang positif pada tahun 2025 sejajar dengan prestasi pasaran buruh yang mampan dan ekonomi yang stabil sepanjang tahun walaupun berdepan cabaran dalam prospek ekonomi dan pembaharuan pasaran buruh,” ujarnya.-UTUSAN