Perjanjian perdagangan Malaysia-Turkiye buka peluang besar kepada PKS - Utusan Malaysia

Perjanjian perdagangan Malaysia-Turkiye buka peluang besar kepada PKS

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Reccep Tayyip Erdogan ketika kunjungan rasmi Presiden Turkiye ke Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian perdagangan Malaysia-Turkiye merupakan peluang besar bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkukuh kedudukan usahawan Melayu dalam ekonomi negara serta di peringkat antarabangsa.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ia memerlukan strategi yang lebih menyeluruh, termasuk pembiayaan yang lebih fleksibel, pembinaan rantaian bekalan bumiputera yang lebih kuat serta peningkatan kemahiran dan daya saing usahawan Melayu. 

“Jika semua ini diberi perhatian, usahawan Melayu bukan sahaja boleh berkembang dalam pasaran tempatan tetapi juga menjadi pemain utama dalam perdagangan global.

“Pastinya melihat inisiatif kerajaan ini sebagai satu peluang yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan Melayu, terutama dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

“Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dan strategi yang perlu diberi perhatian agar usahawan Melayu benar-benar mendapat manfaat daripada dasar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, DPMM sering menekankan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan Melayu adalah akses kepada modal dan pembiayaan. 

“Bank sering mengenakan syarat ketat yang menyukarkan usahawan kecil mendapatkan pinjaman. 

“Oleh itu, DPMM boleh memainkan peranan dengan memastikan kerajaan menyediakan skim pembiayaan khas yang lebih mesra usahawan Melayu, terutamanya dalam sektor yang mempunyai potensi eksport ke Turkiye dan pasaran antarabangsa,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi beberapa sektor, usahawan Melayu masih bergantung kepada pembekal bukan bumiputera. 

“Jika kerajaan benar-benar ingin memperkasakan PMKS Melayu, perlu ada usaha untuk membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dalam kalangan usahawan bumiputera sendiri. 

“Ini termasuk menggalakkan kerjasama antara syarikat bumiputera bagi membentuk konsortium yang lebih kuat dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Selain itu, katanya, PMKS Melayu sering terlibat dalam sektor makanan dan minuman, tekstil dan peruncitan. 

“Walaupun sektor ini penting, usahawan Melayu juga perlu didorong untuk menceburi bidang teknologi, pembuatan, dan inovasi yang mempunyai nilai tambah tinggi. 

“Dengan sokongan kerajaan dan inisiatif yang betul, lebih banyak syarikat melayu boleh menjadi pembekal utama dalam industri strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan dan teknologi halal,” katanya. 

Bagi memastikan usahawan Melayu dapat bersaing, DPMM berharap mereka perlu dibekalkan dengan ilmu perniagaan moden, termasuk strategi pemasaran digital, pengurusan kewangan dan perancangan eksport. 

“DPMM boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk menyediakan program latihan yang lebih efektif bagi meningkatkan kemahiran usahawan Melayu,” katanya. 

Kelmarin, Malaysia dan Turkiye bertukar 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia.

Antara perjanjian yang dimeterai ialah dalam bidang-bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, PKS merupakan tunjang utama dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Jelas beliau, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Lembaga Perhubungan Ekonomi Asing (DEiK) Turkiye dan kementerian berkaitan di Malaysia dan Turkiye perlu memberikan tumpuan terhadap kelompok kedua ini untuk terus berinovasi dan lebih kreatif bagi memastikan PKS diberi keutamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya