Perjanjian perdagangan bebas EU-Malaysia dijangka dimuktamadkan tahun depan - Utusan Malaysia

Perjanjian perdagangan bebas EU-Malaysia dijangka dimuktamadkan tahun depan

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka dimuktamadkan pada tahun depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ketika ini perbincangan mengenai minyak sawit telah berjaya diselesaikan membabitkan kedua-dua pihak.

“Saya gembira untuk melaporkan bahawa minyak sawit kini bukan lagi menjadi isu dalam rundingan FTA ini. Kita telah berjaya menangani kebimbangan mereka (EU) dengan mematuhi standard yang ditetapkan.

“Namun, terdapat bidang baharu lain yang juga perlu kita perhatikan, yang mana sebelum kita dapat muktamadkan perkara ini, masih banyak perkara yang ingin kita lakukan.

“Berbeza dengan FTA lama, FTA kali ini lebih menyeluruh kerana merangkumi aspek digital dan hijau. Kita mahu memastikan perjanjian ini memberi manfaat kepada semua pihak. Dalam mana-mana FTA, kita perlu memastikan syarikat Malaysia bersedia untuk mengambil bahagian dan memanfaatkannya. Jika tidak, kesan positif daripada FTA ini sukar untuk dilihat.

“Sasaran saya adalah untuk menyelesaikan FTA EU ini pada tahun depan. Namun, tarikhnya masih belum dapat dipastikan. Saya sedang berusaha keras untuk merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI 2024 serta hala tuju strategik MITI bagi tahun 2025 di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Urusula von der Leyen sebelum ini mengumumkan untuk menyambung semula rundingan FTA Malaysia dan EU pada bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat sempena lawatan kerja Anwar yang juga Menteri Kewangan ke Brussels, Belgium, pada 19 Januari hingga 20 Januari 2025.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, beliau kekal komited menjalankan tugasnya sebagai Menteri MITI sehingga penggal senatornya berakhir pada akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya