Perang tarif: Fokus pasaran ASEAN, kurangkan kebergantungan kepada AS - Utusan Malaysia

Perang tarif: Fokus pasaran ASEAN, kurangkan kebergantungan kepada AS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia disaran untuk memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN dan Asia Pasifik dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat (AS), susulan peningkatan tarif ke atas import oleh negara itu.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, AS merupakan pasaran yang besar tetapi sebahagian besar keperluannya dipenuhi secara domestik, dengan hanya 20 peratus daripada permintaannya diimport dari luar negara.

“Walaupun angka ini bernilai sekitar AS$4 trilion (kira-kira RM17.87 trilion), persaingan untuk menembusi pasaran tersebut semakin sengit dengan banyak negara lain turut bersaing bagi mendapatkan bahagian pasaran yang terhad.

“Oleh itu, Malaysia perlu menilai semula strategi perdagangan dan mengurangkan pergantungan kepada AS.

“Fokus utama seharusnya beralih ke pasaran ASEAN yang lebih berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium ke negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Ahad.

“Sebarang keluli yang memasuki AS akan dikenakan tarif 25 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, dalam tempoh jangka pendek, peningkatan tarif ke atas eksport seperti aluminium mungkin memberi kesan kepada pemain industri tempatan yang telah lama bergantung kepada pasaran AS.

“Namun, dalam jangka sederhana dan panjang, syarikat-syarikat Malaysia dijangka akan mencari alternatif pasaran baharu yang lebih stabil dan menguntungkan.

“ASEAN merupakan pilihan terbaik kerana ia adalah pasaran yang semakin berkembang, dengan permintaan tinggi bagi pelbagai sektor, termasuk pembuatan dan komoditi.

“Jika ASEAN tidak mencukupi, pasaran Asia Pasifik juga menawarkan peluang pertumbuhan yang besar.

“Selain ASEAN, rantau seperti Amerika Selatan, Afrika dan Asia Barat turut berpotensi untuk diterokai. Namun, dengan kedudukan geografi yang strategik serta hubungan ekonomi yang erat, ASEAN kekal sebagai destinasi utama untuk perdagangan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kesan tarif itu mungkin dari segi persaingan yang semakin meningkat kepada pemain-pemain industri tempatan kerana pemain-pemain utama di peringkat global akan mula mengeksport besi dan keluli kepada pasaran lain, termasuk Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa keluli dan aluminum adalah bahan utama dalam sektor-sektor seperti pembinaan dan hartanah malah negara juga mempunyai pemain tempatan dalam industri besi dan keluli.

“Sekiranya berlaku lambakan barangan besi dan keluli hasil daripada daripada tarif import yang dikenakan, maka ia boleh menjejaskan industri keluli tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya