Pengeluaran getah asli menurun 5.1% pada Disember - Utusan Malaysia

Pengeluaran getah asli menurun 5.1% pada Disember

HARGA getah asli meningkat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli menurun 5.1 peratus pada Disember 2024 (38,299 tan metrik) berbanding pada November 2024 (40,341 tan metrik), kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 26.2 peratus (Disember 2023: 30,342 tan metrik).

Katanya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.4 peratus) berbanding sektor estet (10.6 peratus).

“Jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus berbanding November 2024 (43,562 tan metrik),” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir berkata, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (7.3 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Portugal (3.3 peratus).

Jelasnya, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding November 2024 (RM1.4 billion).

“Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 2.3 peratus (Disember 2024: 699.35 sen sekilogram; November 2024: 683.48 sen sekilogram), manakala sekerap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Disember 2024: 757.28 sen sekilogram; November 2024: 728.68 sen sekilogram),” ujarnya.

Beliau berkata, trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

“Data Harga Komiditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.2 peratus (daripada AS$1.93/kg kepada AS$1.99/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 4.1 peratus (daripada AS$2.29/kg kepada USD2.38/kg).

“Prestasi suku keempat 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 10.7 peratus kepada 117,040 tan metrik berbanding 105,715 tan metrik pada suku ketiga 2024.

“Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2024 pula mencatatkan peningkatan 24.6 peratus berbanding suku keempat 2023 (93,956 tan metrik),” jelasnya.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Disember 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan peningkatan harga SMR 20.

“Sentimen pasaran disokong oleh kebimbangan yang berpanjangan untuk bekalan akibat hujan lebat dan banjir di negara utama pengeluar getah asli.

“Sentimen pasaran juga dirangsang oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan prestasi ekonomi China yang lebih baik daripada rangsangan tambahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya