KUALA LUMPUR: Pengeluar dan pengeksport kelengkapan paip kimpalan, Pantech Global Berhad (Pantech Global) menyasarkan untuk mengumpul RM178.31 juta daripada terbitan 262.23 juta saham pada 68 sen sesaham sebagai sebahagian daripada penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).
Sebanyak 21.25 juta saham IPO akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, yang mana permohonan akan ditutup pada 19 Februari 2025, dengan pengundian permohonan dijadualkan pada 24 Februari sebelum disenaraikan pada 3 Mac ini.
Sebahagian daripada hasil bakal dimanfaatkan untuk pengembangan perniagaan yang melibatkan penubuhan kilang dan ibu pejabat korporat baharu di Selangor untuk memperluaskan pengeluaran, penubuhan gudang baharu di Johor, serta penubuhan kemudahan penggilapan di Johor untuk menampung paip lebih panjang.
Syarikat turut merancang untuk membeli, menaik taraf dan menggantikan mesin serta peralatan kepada yang lebih baharu serta efisien, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
Ia juga merancang untuk menyertai pemeran di Mesir dan Brazil tahun ini dalam usaha memperluas pasaran globalnya, yang buat masa ini terdiri daripada 28 negara termasuk Malaysia.
Mengulas mengenai pengenalan tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Pengarah Urusan Kumpulan Pantech Global, Adrian Tan berkata, syarikatnya tidak akan menerima kesan besar.
Ujarnya, ini kerana tarif 25 peratus akan dikenakan kepada semua negara, menjadikannya semua pemain industri pada landasan yang sama.
“Tiada perincian penuh mengenainya buat masa ini, namun barangan terlibat kebiasaannya adalah melibatkan item asas pada peringkat huluan seperti bar dan wayar, sedangkan produk kami adalah hiliran iaitu pada penghujung rantaian bekalan.
“Selain itu, kami selaku OEM (pengeluar peralatan asal) membekalkan kepada pengedar yang menjualnya pada harga sekali ganda dan sebarang peningkatan kos boleh dipindahkan sepenuhnya kepada mereka.
“Secara umumnya, peningkatan harga bahan mentah seperti besi adalah baik untuk perniagaan kami, yang akan terkesan ialah pengilang biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran prospektus untuk tawaran awam permulaan (IPO) untuk Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) di sini, semalam.
Semalam, Trump memaklumkan pihaknya akan mengenakan 25 peratus tarif ke atas semua import keluli dan aluminium, memperluas konflik perdagangannya kepada sektor logam dalam letusan baru perlindungan daripada Washington.
Sebagai tambahan kepada langkah-langkah ke atas produk keluli dan aluminium, Trump berkata pada minggu ini beliau akan mendedahkan tarif timbal balik baharu yang menyasarkan import dari pelbagai negara yang mengenakan levi ke atas eksport AS. – UTUSAN