PETALING JAYA: Northern Solar Holdings Bhd. (NSHB) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan cemerlang pada 90 sen sesaham, premium 42.86 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 63 sen sesaham.
Pengarah Urusannya, Lew Shoong Kai berkata, penyenaraian di IPO itu merupakan satu pencapaian penting dan meletakkan syarikat pada landasan pengembangan yang lebih besar.
“Penyenaraian ini adalah satu bentuk keyakinan kuat daripada pasaran.
“Dengan dana yang diperoleh, kami komited untuk meningkatkan operasi dan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya.
NSHB berjaya mengumpul RM42.4 juta daripada IPO dan merancang menggunakan sejumlah RM3.2 juta (7.4 peratus) daripada hasil itu digunakan untuk membuka pejabat korporat baharu.
Syarikat juga merancang untuk memperuntukkan RM29.2 juta (68.8 peratus) bagi modal kerja untuk membiayai pengembangan perniagaan sistem solar fotovoltaik (PV).
Selain itu, baki dana akan digunakan untuk membayar pinjaman bank sebanyak RM5.5 juta (13 peratus) serta menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM4.6 juta (10.8 peratus).
Dalam pada itu, Shoong Kai berkata, kumpulan merancang membuka cawangan baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru dalam tempoh 12 bulan serta mengukuhkan kehadirannya dalam sektor tenaga solar yang berkembang pesat di Malaysia.
“Kami turut menyasarkan pertumbuhan 20 peratus dalam segmen solar atas bumbungnya, yang menawarkan margin keuntungan tertinggi.
“Northern Solar berada dalam kalangan 10 pemain utama solar atas bumbung di Malaysia, walaupun data bahagian pasaran yang tepat adalah terhad disebabkan peraturan yang dipacu oleh dasar kerajaan.
“Syarikat kini mempunyai buku tender sebanyak 380 projek, termasuk taman perindustrian dan pembangunan perumahan,” katanya.
Beliau berkata, NSHB juga sedang meneliti penyertaannya dalam program solar berskala besar (LSS5).
“Kami sedang menjalankan analisis mendalam. Berdasarkan kajian terhadap semua skim LSS 5, fasa pertama dijangka melibatkan kapasiti dua gigawatt (GW), menjadikannya langkah strategik untuk dipertimbangkan.
“Selain itu, kerajaan telah melanjutkan inisiatif ini kepada LSS 5+, dengan tambahan dua GW. Anggaran nilai projek dalam tempoh tiga tahun akan datang adalah antara AS$15 bilion (kira-kira RM66.4 bilion) hingga AS$20 bilion (kira-kira RM88.5 bilion),” katanya. – UTUSAN