PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata, ringgit juga merupakan satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding dolar AS pada 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai.
“Selain itu, ringgit juga menambah nilai berbanding mata wang utama lain sepanjang tahun 2024, termasuk dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun, dengan penambahan nilai keseluruhan dicatatkan berbanding rakan-rakan perdagangan utama Malaysia (Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) pada 2024: +7.5 peratus).
“Keadaan ini berlaku meskipun ringgit menurun nilai berbanding dolar AS (-8.1 peratus) serta berbanding rakan-rakan dagangan utama (NEER: -3.4 peratus) pada suku keempat 2024, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang lebih kukuh berikutan jangkaan pasaran kewangan yang dinilai semula berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil pada 2025 serta penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur yang berpunca daripada ketidakpastian dasar di bawah pentadbiran AS yang baharu.
“Pada 2025, pada asas sejak awal tahun sehingga kini (setakat 12 Februari 2025), ringgit menambah nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS dan menurun nilai sebanyak 0.3 peratus pada asas NEER berbanding rakan-rakan dagangan utama Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.
“Meskipun begitu, prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit.
“BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur,” katanya.
Sementara itu, bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan 2024 menurun sedikit kepada 1.8 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku ketiga 2024.
“Perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut.
“Inflasi teras lebih rendah pada 1.7 peratus berbanding 1.9 pada suku ketiga 2024, sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan inflasi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih yang menurun sebanyak 10.0 peratus berbanding 0.0 peratus suku ketiga 2024.
“Rebakan inflasi kekal sederhana. Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan kekal di bawah purata jangka panjang pada 39.8 peratus berbanding 38.9 peratus pada suku ketiga 2024, manakala suku kempat 2011 hingga 2019: sebanyak 41.7 peratus. Bagi keseluruhan tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun kepada 1.8 peratus (pada 2023: masing-masing 2.5 peratus dan 3.0 peratus),” katanya.
Pada masa hadapan,, inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025 berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
Walaupun pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini akan menyumbang kepada sedikit tekanan menaik terhadap harga, kesan keseluruhan terhadap inflasi dijangka dapat dibendung.
Namun, risiko kenaikan harga boleh timbul daripada kesan limpahan yang lebih besar daripada dasar kepada harga IHP secara lebih meluas. – UTUSAN