Nilai kerja pembinaan capai RM158.8 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

Nilai kerja pembinaan capai RM158.8 bilion tahun lalu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai kerja pembinaan pada 2024 mencapai RM158.8 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 20.2 peratus pada 2024 dengan suku keempat 2024 berjumlah RM42.0 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai kerja pembinaan dalam sektor itu terus mencatatkan pertumbuhan pada suku keempat 2024 dengan peningkatan ketara sebanyak 23.1 peratus berbanding 22.9 peratus pada suku sama tahun sebelum.

“Prestasi memberangsangkan ini terutamanya, didorong oleh peningkatan kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman, masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit yang ketara sebanyak 44.9 peratus dan 38.9 peratus.

“Subsektor bangunan bukan kediaman turut menyumbang kepada pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak 24.6 peratus.

“Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, dengan kadar pertumbuhan positif sebanyak 9.3 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM42.0 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2024, sejumlah RM15.6 bilion atau 37.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam.

“Ini terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.9 bilion) dan projek utiliti (RM6.8 bilion).

“Sementara itu, nilai kerja bagi Bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.0 peratus) dan RM9.9 bilion (23.5 peratus).

“Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.7 bilion (11.3 peratus), terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.2 bilion), pemasangan elektrik (RM1.1 bilion) serta pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1 bilion),” katanya.

Uzir berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku itu, menyumbang RM27.0 bilion atau 64.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.

“Sektor swasta mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 32.9 peratus berbanding 33.3 peratus pada suku sama tahun sebelum, didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas (57.4 peratus) dan bangunan kediaman (38.5 peratus).

“Sebaliknya, sektor awam yang menyumbang 35.8 peratus atau RM15.1 bilion mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 8.8 peratus berbanding 8.1 peratus pada suku sama 2023.

“Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor bangunan kediaman (46.8 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (22.4 peratus), dengan masing-masing berjumlah RM0.6 bilion dan RM1.4 bilion,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pada suku keempat 2024, beliau berkata, hampir 62.3 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.

“Selangor merekodkan nilai kerja Pembinaan tertinggi sebanyak RM9.4 bilion (22.5 peratus), didorong oleh subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman yang masing-masing bernilai RM2.9 bilion, serta subsektor kejuruteraan awam berjumlah RM2.6 bilion.

“Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan RM7.4 bilion atau 17.7 peratus, dipacu terutamanya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.0 bilion).

“Di samping itu, nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan berjumlah RM4.7 bilion (11.3 peratus), manakala Sarawak mencatatkan RM4.6 bilion (10.9 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya