MBSB catat untung sebelum cukai RM586.3 juta, melonjak hampir 200% - Utusan Malaysia

MBSB catat untung sebelum cukai RM586.3 juta, melonjak hampir 200%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Berhad mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM586.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2024, melonjak 185.6 peratus berbanding PBT teras tahun sebelumnya sebanyak RM205.3 juta (tidak termasuk keuntungan sekali sahaja daripada pemerolehan MIDF pada 2023).

Pencapaian ini mengukuhkan lagi daya saing dan pertumbuhan MBSB.

Jika mengambil kira keuntungan daripada pemerolehan MIDF tahun lalu, PBT meningkat kepada 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala Margin Keuntungan Bersih naik dari 1.8 peratus kepada 2.4 peratus.

Dari segi pendapatan, MBSB mencatat pertumbuhan kukuh 31.4 peratus kepada RM3.7 bilion, berbanding RM2.8 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan 27.2 peratus dalam pendapatan dibiayai serta 73.0 peratus lonjakan pendapatan berasaskan yuran, hasil sumbangan daripada MIDF.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, sempena 75 tahun kumpulan dalam industri, MBSB terus memacu pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), memperkasakan pelanggan dan membina kerjasama strategik.

“Dengan pemahaman mendalam terhadap pasaran serta fokus kepada sektor bernilai tinggi, kami yakin dapat menawarkan kelebihan daya saing yang kukuh kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Rafe, peningkatan nisbah CASA daripada 6.2 peratus kepada 11.1 peratus mencerminkan pengukuhan asas deposit kumpulan, manakala pengurusan kos yang berdisiplin memastikan Nisbah Kos kepada Pendapatan kekal pada 54.9 peratus.

“Dari segi kualiti aset, Nisbah Pembiayaan Terjejas Kasar turun ketara daripada 7.3 peratus kepada 5.3 peratus manakala Keuntungan Operasi Sebelum Peruntukan meningkat kepada RM745.1 juta berbanding RM679.8 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Jelasnya, kedudukan modal MBSB juga kukuh dengan CET1/Tier 1 Capital Ratio pada 19.2 peratus dan Total Capital Ratio pada 21.7 peratus memberikan kestabilan untuk terus berkembang.

Dari aspek digital dan perbankan pelanggan, MBSB terus melangkah ke hadapan dengan menaik taraf platform MJOURNEY, di samping membolehkan PKS membuka akaun semasa secara dalam talian dan memperkukuh penawaran pengurusan kekayaan dengan Prime Gold-i serta Akaun Pelaburan Berjangka.

Dengan kepakaran gabungan antara MBSB Bank dan MIDF, kumpulan kini menawarkan penyelesaian komprehensif untuk PKS, termasuk pembiayaan campuran, geran dan perkhidmatan nasihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya