MBSB Bank, Adab Youth Garage luaskan Program Pembangunan Komuniti - Utusan Malaysia

MBSB Bank, Adab Youth Garage luaskan Program Pembangunan Komuniti

RAFE Haneef menyerahkan replika cek bernilai RM150,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Adab Youth Garage, Muhammad Nizam Samsudin sempena Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: MBSB Bank dengan kerjasama Adab Youth Garage, memperkasa semula tujuan dan program Pusat Interaktif Belia yang diperluas dengan inisiatif pemerkasaan kapasiti menyasarkan kanak-kanak, belia dan keluarga di PPR Kampung Baru Hicom, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBSB Bank, Rafe Haneef berkata, pihaknya akan membiayai sepenuhnya operasi pusat itu sepanjang tahun akan datang, memastikan peluang pendidikan dan pembangunan kemahiran berterusan.

“Ini termasuk sesi literasi kewangan, kelas tambahan Bahasa Inggeris dan Matematik, serta latihan pemasaran digital seperti reka bentuk Canva dan perniagaan TikTok bagi membantu usahawan tempatan, khususnya para ibu untuk mencipta dan mengembangkan sumber pendapatan baharu.

“Bagi mengukuhkan lagi keterlibatan komuniti, MBSB Bank melancarkan program sukarelawan yang memanfaatkan kepelbagaian kepakaran pekerja di seluruh kumpulan.

“Sukarelawan dalam kalangan staf akan menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang seperti bimbingan kerjaya, mentorship dan pembangunan profesional, memberikan sokongan serta panduan secara lebih peribadi kepada para peserta,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia PPR Kampung Baru Hicom, di sini semalam.

Jelasnya, pusat itu adalah tempat untuk sama-sama membantu anak-anak berkembang menjadi individu yang berjaya dengan mendapat bimbingan dan panduan yang betul.

“Pusat Interaktif Belia ini diadakan khas untuk anak-anak muda kita tempat mereka belajar, mengasah kemahiran, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita mahu tempat ini menjadi ruang selamat untuk mereka mencipta peluang baharu dan mengelakkan daripada terjebak dalam gejala sosial yang menjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat,” katanya.

Rafe Haneef berkata, penajaan Pusat Interaksi ini dibiayai dari dana zakat perniagaan MBSB Bank, selaras dengan kepentingan berzakat dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan menyalurkan zakat ke program berimpak tinggi, kita bukan sahaja memenuhi kewajipan agama tetapi juga memastikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat melalui pemerkasaan ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan sosial,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, MBSB Bank juga akan membantu pelajar-pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan tetapi memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa.

“Insya-Allah, kami akan menyediakan beasiswa bermula tahun depan bagi mereka yang ingin menyambung pengajian ke universiti tempatan.

“Selepas tamat pengajian, jika ada peluang, mereka juga boleh dipertimbangkan untuk bekerja di MBSB Bank, terutamanya dalam bidang ekonomi, kewangan, dan sebagainya.

Tambahnya, pusat Interaktif Belia MBSB Bank di PPR Kampung Baru Hicom menandakan permulaan kepada inisiatif yang lebih meluas.

“Selaras dengan Program Santuni Madani ‘Satu Kampung Satu Pemimpin’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MBSB Bank merancang untuk memperluaskan program serupa ke PPR Desa Tun Razak Cheras dan Yayasan Chow Kit.

“Ini sekali gus mewujudkan rangkaian pusat komuniti yang diperkasa dan berfokus kepada pembangunan holistik serta jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya