KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terkesan dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium ke negara itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia mempunyai moratorium untuk keluli dan besi untuk mana-mana kilang baharu atau pengembangan kilang terbabit.
“Kami merasakan sudah ada lebihan kapasiti di negara inI. Oleh itu, apa sahaja yang berlaku di AS, kita bukanlah pengeksport utama kepada keluli dan aluminium.
“Eksport terbesar ke AS adalah elektrik dan elektronik (E&E). Eksport keluli adalah sangat tidak signifikan. Jadi saya tidak nampak apa-apa kesan ke atasnya,” katanya pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di Hotel St. Regis di sini, hari ini.
Persidangan bertajuk Inovasi Untuk Esok: Pengukuhan Hubungan Ekonomi ASEAN-China itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke negara itu.
Dasar itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk merombak hubungan perdagangan antarabangsa dan akan berkuat kuasa pada 4 Mac ini tanpa sebarang pengecualian bagi mana-mana negara.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia merancang untuk melakukan libat urus dengan pelabur di AS serta mengukuhkan perdagangan di antara kedua-dua negara pada suku kedua tahun ini.
Ujarnya, pihaknya (MITI) sentiasa melakukan libat urus dengan institusi atau agensi dan pihak berkepentingan berkaitan di AS melalui pelbagai platform.
“Kami juga telah melakukan beberapa perkara yang diperlukan dan bersedia untuk sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh AS.
“Seperti yang anda tahu, belum ada lagi (tarif), tetapi ramai yang mengatakan ia tidak dapat dielakkan.
“Malaysia akan terus melibatkan diri dan memahami serta cuba melihat apa yang menjadi kebimbangan dan bagaimana kami boleh membantu untuk mengurangkan beberapa kebimbangan.
“Ia sama ada defisit perdagangan atau teknologi atau kawasan di mana kami boleh bekerjasama dengan lebih dekat,” katanya. – UTUSAN