PETALING JAYA: Malaysia merupakan peneraju ASEAN yang berjaya dalam usaha mempertingkatkan penawaran rumah mampu milik, menurut Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, berbanding negara-negara ASEAN lain, kerajaan Malaysia sangat komited terhadap kebolehcapaian rumah mampu milik.
“Ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat memandangkan jangkaan seramai 1.4 juta orang akan berpindah ke bandar-bandar negara ini menjelang 2030.
“Malaysia memperuntukkan kira-kira RM2.85 bilion untuk perumahan mampu milik pada 2024, negara ASEAN keempat membelanjakan modal tinggi untuk tujuan itu selepas Singapura, Vietnam dan Thailand.
“Dengan populasi 34 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita RM51,001, Malaysia mempunyai sumber terhad untuk didedikasikan kepada rumah mampu milik, namun masih membelanjakan jumlah yang besar.
“Perbandingan itu menunjukkan perumahan mampu milik adalah keutamaan nasional yang kritikal di Malaysia, tetapi tidak di seluruh ASEAN kerana tiga negara iaitu Myanmar, Kemboja dan Laos tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kashif, pelaburan tersebut telah menghasilkan kemajuan yang ketara, dengan Malaysia dijangka mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2026.
“Sehingga September tahun lalu, sebanyak 443,259 unit telah siap dibina, bermakna kurang daripada 60,000 rumah perlu dibina dalam dua tahun terakhir pelan tersebut.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk menangani keperluan perumahan, walaupun berhadapan dengan cabaran kekurangan sumber,” katanya.
Kashif berkata, pendekatan Malaysia yang boleh diperluas dan mampan memastikan ia dapat membuat kemajuan yang konsisten dalam sektor perumahan tanpa membebankan kewangan kerajaan.
“Saya melihat Malaysia berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk mengembangkan usahanya dengan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi dan perancangan bandar pintar untuk memperbaiki lagi bekalan perumahan mampu milik,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laporan terkini oleh Urban Land Institute, pelaburan Malaysia membantu mengekalkan harga rumah pada tahap yang lebih rendah.
“Apartmen di Kuala Lumpur lebih murah berbanding dengan pendapatan tahunan berbanding rumah persendirian di Jakarta, Hanoi, Bangkok, Manila atau Singapura.
“Rumah di Kuala Lumpur juga lebih mampu milik berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini, mengatasi rumah di Hanoi, Bangkok dan Manila,” katanya. – UTUSAN