Malaysia rancang libat urus dengan pelabur di AS suku kedua ini - Utusan Malaysia

Malaysia rancang libat urus dengan pelabur di AS suku kedua ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk melakukan libat urus dengan pelabur di Amerika Syarikat (AS) serta mengukuhkan perdagangan di antara kedua-dua negara pada suku kedua tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa melakukan libat urus dengan institusi atau agensi dan pihak berkepentingan berkaitan di AS melalui pelbagai platform.

Katanya, pihaknya juga telah melakukan beberapa perkara yang diperlukan dan bersedia untuk sebarang tindakan yang mungkin diambil oleh AS.

“Seperti yang anda tahu, belum ada lagi (tarif), tetapi ramai yang mengatakan ia tidak dapat dielakkan.

“Malaysia akan terus melibatkan diri dan memahami serta cuba melihat apa yang menjadi kebimbangan dan bagaimana kami boleh membantu untuk mengurangkan beberapa kebimbangan.

“Ia sama ada defisit perdagangan atau teknologi atau kawasan di mana kami boleh bekerjasama dengan lebih dekat,” katanya pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di sini, semalam.

Persidangan bertajuk Inovasi Untuk Esok: Pengukuhan Hubungan Ekonomi ASEAN-China itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata, AS merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia, diikuti oleh China dan pelaburan terbesar di negara ini dalam tempoh sembilan bulan adalah daripada syarikat AS.

Mengulas mengenai sama ada kemasukan syarikat dari China akan mendorong kepada tarif dari AS, beliau berkata, Malaysia percaya kepada multilateralisme.

Katanya, ASEAN telah menjadi penerima bersih pelaburan langsung asing (FDI) dari China dan AS, walaupun FDI global merosot.

Jelanya, ASEAN dilihat terus berkecuali dan bersama-sama dengan mengekalkan pendirian ini.

“Jadi bagi kami, jika ada kebimbangan (kepada tarif) yang kami lihat berkaitan teknologi, sebagai contoh. Beberapa sekatan ke atas itu, perkara-perkara yang kami dapat menangani.

“Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain mempunyai undang-undang, selagi kita mematuhi undang-undang negara, kita pasti akan terus menyokong pelaburan dari mana-mana negara, termasuk China dan AS.

“Menjawab soalan sama ada kami bimbang terhadap tarif? Satu dunia pun bimbang terhadap tarif. Kita telah melihat apa yang telah berlaku kepada negara jiran AS.

“Jadi bagi ASEAN, adalah perkara biasa untuk menjangkakan bahawa kita mungkin perlu menghadapi perkara yang sama tetapi apa yang penting ialah kita menangani beberapa kebimbangan itu dan melibatkan diri. Saya fikir itu akan menjadi kunci ke hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya