Malaysia perlu manfaatkan Turkiye sebagai gerbang ke pasaran Eropah - Utusan Malaysia

Malaysia perlu manfaatkan Turkiye sebagai gerbang ke pasaran Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Türkiye, terutama dalam memanfaatkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah itu menjadi lebih penting selepas United Kingdom (UK), rakan strategik utama Malaysia, tidak lagi menjadi ahli EU.

“Türkiye mempunyai ekonomi pasaran bebas yang berkembang pesat dan disenaraikan sebagai ekonomi ketujuh belas terbesar di dunia serta ketujuh terbesar di Eropah berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal pada 2024.

“Dari segi Pariti Kuasa Beli (PPP), Türkiye berada di tempat kedua belas terbesar di dunia dan kelima terbesar di Eropah.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi Türkiye terjejas akibat krisis pada 2018, negara itu kembali pulih pada 2021 dan mencapai rekod tertinggi dalam KDNK nominal per kapita serta KDNK-PPP per kapita pada 2024.

“Dengan trajektori pertumbuhan semasa, Türkiye dijangka mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, kawasan perdagangan bebas antara Türkiye dan EU telah memberi kesan positif kepada perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, serta aktiviti ekonomi dua hala.

“Ini membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menekankan pembangunan teknologi bernilai tinggi.

“Dari segi teknologi dan inovasi, Türkiye telah memajukan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan lebih 1,600 pusat R&D di technopark universiti sejak awal 2000-an.

“Kejayaan Türkiye dalam industri automotif, elektronik pengguna, peralatan rumah, dan pertahanan turut menjadikannya destinasi pelaburan strategik.

“Pada 2021, Türkiye menduduki tempat kelapan dalam Indeks Kerumitan Ekonomi, membuktikan keupayaannya dalam sektor teknologi tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, syarikat Malaysia wajar mengambil peluang memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Türkiye bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

“Ini kerana Türkiye memainkan peranan penting dalam industri pertahanan sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dengan kepakaran dalam pembangunan teknologi ketenteraan seperti kenderaan perisai dan persenjataan canggih.

“Keupayaan ini memberi kelebihan kepada Malaysia dalam meneroka kerjasama industri pertahanan dan teknologi strategik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa usaha kerajaan itu merupakan suatu keperluan strategik.

“Ini memandangkan negara Amerika Syarikat (AS) dijangka bakal menggunakan instrument tarif import sebagai “senjata” utama untuk kepentingan ekonomi AS.

“Justeru, dengan termeterainya perjanjian ini, ia akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye yang sudah sedia menjalinkan hubungan perdagangan, pelaburan dan diplomatik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya