Malaysia perlu dialog dengan AS, China untuk perkukuh rantau ASEAN - Utusan Malaysia

Malaysia perlu dialog dengan AS, China untuk perkukuh rantau ASEAN

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini boleh mengambil inisiatif mengukuhkan lagi saluran dialog dengan Amerika Syarikat (AS) dan China bagi memastikan rantau ini terus menjadi rakan kongsi utama kedua-dua negara tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Zalina Zainol berkata, inisiatif ini penting bagi menghadapi ketidaktentuan global dan kesepakatan dasar antara anggota ASEAN adalah kritikal.

“Jika ASEAN bertindak sebagai satu blok yg lebih kohesif, kita boleh memperkukuhkan lagi kedudukan ASEAN dalam rundingan perdagangan antarabangsa dan kita dapat meminimumkan kesan daripada ketegangan geopolitik ini.

“Seterusnya, kita dapat menawarkan kestabilan sebagai hab pelaburan secara jangka panjang,” katanya semasa program Bicara Persada bertajuk Trump dan Dunia: Implikasi Terhadap Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook oleh Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Beliau berkata, ASEAN merupakan rantau yang pertumbuhan ekonominya sangat kukuh di peringkat global dan berdasarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi negara baru muncul dan membangun yang merangkumi negara ASEAN dijangka mencapai 5.2 peratus pada tahun lalu.

Jelasnya, angka ini lebih tinggi berbanding dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global iaitu 3.2 peratus dan pertumbuhan ekonomi negara lain iaitu 1.7 peratus.

“Jadi, ASEAN telah mungkin menjadi destinasi pilihan pelabur antarabangsa. Pelaburan langsung ke ASEAN mencapai AS$230 bilion pada 2023.

“Perkara ini menunjukkan ASEAN memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), perkilangan dan teknologi digital,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan ketidaktentuan yang wujud dalam perdagangan global, ASEAN perlu mengukuhkan lagi bekalan dan pelaburan intra ASEAN.

“Pada 2023, sebanyak 90 peratus daripada pelaburan intra ASEAN tertumpu pada Indonesia, Malaysia, Singapura dan Vietnam. Ini menunjukkan kepentingan kerjasama ekonomi dalam rantau ini.

“Apa yang perlu adalah mengurangkan lagi kawasan bukan tarif dan mempercepatkan lagi integrasi pasaran antara ASEAN supaya kita dapat memperkukuhkan lagi daya saing di rantau ini,’ jelasnya.

Sementara itu, Profesor Perhubungan Antarabangsa UKM, Professor Dr. Kuik Cheng-Chwee berkata, hubungan antarabangsa dalam pentadbiran Presiden AS, Donald Trump untuk penggal kedua berkait dengan ketidaktentuan dan sejauh mana ketidaktentuan tersebut.

Katanya, apabila Trump menurunkan komitmennya terhadap negara jiran dan sekutu rapatnya iaitu Kanda dan Mexico, ia menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia berhubungan ketegasannya.

“Jadi, mari berbincang dan melakukan rundingan. Apa yang kita perlu lakukan adalah terpulang kepada sesebuah negara itu.

“Bagi Malaysia dan ASEAN, dua perkara yang akan terkait adalah mengenai Laut China Selatan dan Selat Taiwan. Kita boleh kata yang kita neutral dan tidak memihak mana-mana pihak tetapi apabila melibatkan kuasa besar, kita akan terpengaruh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya