PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia Securities untuk mengeluarkan status penyenaraiannya daripada senarai rasmi, selaras dengan Perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian.
Langkah itu susulan penerimaan tawaran oleh Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) dan pemegang sahamnya (konsortium), yang memperoleh sejumlah 1.646 bilion saham MAHB, bersamaan 98.68 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat itu setakat jam 5 petang, Rabu lalu.
Menurut AmInvestment Bank dalam satu kenyataan, bagi pihak konsortium, peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 akan digunakan bagi mewajibkan pemerolehan baki saham daripada pemegang yang tidak bersetuju.
“Di samping itu, tindakan yang perlu juga akan diambil bagi menyahsenarai MAHB daripada senarai rasmi.
“Memandangkan konsortium tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian selepas menguasai lebih 90 peratus saham MAHB, Bursa Malaysia Securities akan menggantung dagangan saham syarikat itu mulai 20 Februari, iaitu lima hari pasaran selepas 12 Februari,” katanya. – UTUSAN