MAHB dinyahsenarai, pengarah bebas letak jawatan - Utusan Malaysia

MAHB dinyahsenarai, pengarah bebas letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (INED) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengemukakan peletakan jawatan mereka yang akan berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian syarikat itu.

Mereka adalah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Ir Haji Mohamad Husin dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Ramanathan Sathiamutty; Cheryl Khor Hui Peng; Datuk Seri Ir Koe Peng Kang dan Chris Chia Woon Liat.

Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Datuk Zainun Ali yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah juga telah mengemukakan peletakan jawatannya berikutan tamat tempoh perkhidmatannya sebagai penama Kementerian Kewangan (Diperbadankan) [MOF Inc.] pada 16 Februari lalu.

Pengerusi MAHB, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, tindakan itu susulan mesyuarat Lembaga Pengarah terakhir sebagai syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang diadakan semalam.

“Ini menandakan berakhirnya perjalanan selama 25 tahun MAHB sebagai sebuah syarikat tersenarai awam yang bermula pada November 1999 apabila ia membuat debut pada RM2.50 sesaham.

“Tawaran oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) untuk menswastakan MAHB baru-baru ini dimuktamadkan pada RM11 sesaham, sekali gus mencerminkan kadar pertumbuhan purata terkompaun (CAGR) melebihi 6.0 peratus dalam harga saham sepanjang 25 tahun.

“Syarikat itu juga telah mengagihkan sejumlah RM2.806 bilion dividen sehingga 2023,” katanya dalam kenyataan.

Nungsari secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengarah bebas atas perkhidmatan mereka kepada syarikat.

“Semasa kita menamatkan fasa perjalanan MAHB ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, kakitangan dan tiga kesatuan dalam Kumpulan MAHB atas dedikasi mereka kepada kumpulan,” ujarnya.

Jelas beliau, MAHB bermula sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, kemudian sebuah entiti korporat dan akhirnya sebuah syarikat tersenarai awam.

“Penyahsenaraian akan datang dan penswastaan ​​akan menyaksikan MAHB muncul sebagai syarikat pemegang saham tunggal, dimiliki 100 peratus oleh GDA, dengan kerajaan kekal sebagai Pemegang Saham Khas.

“Para pemegang saham baharu – Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Global Infrastructure Partners (GIP) kini akan bertanggungjawab secara kolektif untuk kesejahteraan syarikat, kebajikan kakitangannya dan pembangunan keseluruhan sektor penerbangan di Malaysia secara amnya.

“Saya mengharapkan mereka membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi sambil memenuhi kewajipan OA di Malaysia dan perjanjian konsesi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya