PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan pendapatan bersih tertinggi dalam sejarahnya iaitu RM12.9 bilion pada 2024, dengan pulangan keseluruhan sebanyak 12 peratus.
Saiz dana turut meningkat sebanyak RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion, mencerminkan peningkatan 9.3 peratus bagi kewangan tidak diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM169.8 bilion pada 2023.
Pelaburan domestik menjana pulangan 12.9 peratus, manakala portfolio antarabangsa mencatatkan pulangan 9.0 peratus.
Hasil ini didorong oleh ekuiti awam yang memberikan pulangan keseluruhan sebanyak 21.9 peratus, dengan ekuiti domestik mencatat 23.2 peratus dan ekuiti antarabangsa mencapai 16.9 peratus.
Setelah mengambil kira pengeluaran RM5 bilion untuk membiayai sebahagian liabiliti pencen kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM20.8 bilion tahun ke tahun menyerlahkan kejayaan berterusan strategi pelaburan KWAP yang berdisiplin serta tumpuannya terhadap pertumbuhan mampan jangka panjang.
Strategi peruntukan aset dana kekal pelbagai dan berdaya tahan, dengan 74.6 peratus daripada portfolionya dilaburkan dalam pasaran domestik dan 25.4 peratus di peringkat antarabangsa.
Sehingga 31 Disember 2024, portfolio dana diperuntukkan sebanyak 51.7 peratus dalam ekuiti, pendapatan tetap (32.4 peratus), ekuiti persendirian (5.4 peratus), hartanah (5.2 peratus) dan infrastruktur (2.2 peratus) dengan baki dalam pengurusan tunai bagi tujuan kecairan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, prestasi luar biasa itu mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin kumpulan yang disokong oleh ketahanan ekonomi Malaysia.
“Pasaran domestik yang stabil serta dasar yang menyokong di bawah Kerajaan MADANI memainkan peranan penting dalam memperkukuh pulangan dan membolehkan kami mencipta nilai mampan jangka panjang untuk para pemegang kepentingan.
“Walaupun ketidakpastian global dan risiko geopolitik kekal, kami akan terus berwaspada, menyesuaikan strategi untuk mengurangkan risiko dan merebut peluang yang muncul,” katanya.
Dalam perkhidmatan persaraan, KWAP telah memberi manfaat kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2024.
Ini mewakili peningkatan 2.4 peratus atau lebih 19,000 penerima pencen tambahan berbanding 2023.
KWAP mengekalkan skor prestasi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) sebanyak 99.8 peratus, jauh melebihi ambang 95 peratus.
KWAP juga memperluaskan jangkauannya kepada pesara melalui inisiatif seperti Jelajah MyPesara melibatkan lebih 8,000 peserta di 40 lokasi, serta Karnival MyPesara yang menarik lebih 20,000 pengunjung di Johor Bahru. – UTUSAN