Kerajaan digesa tangani isu kenaikan tarif import keluli, aluminium ke AS - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa tangani isu kenaikan tarif import keluli, aluminium ke AS

Harga keluli bagi semua kategori bangunan mencatatkan peningkatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa campur tangan dalam menangani isu kenaikan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke Amerika Syarikat (AS).

Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) berkata, tanpa tindakan segera dan tegas, pengeluar keluli Malaysia akan mengalami kemudaratan yang berpanjangan dan tidak dapat dipulihkan.

“Kami menggesa kerajaan untuk bertindak dengan segera, memperkukuh perundangan anti-lambakan, mempercepatkan siasatan dan melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi industri sebelum kesan lebih buruk berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke negara itu.

Dasar itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk merombak hubungan perdagangan antarabangsa dan akan berkuat kuasa pada 4 Mac ini tanpa sebarang pengecualian bagi mana-mana negara.

MISIF berkata, industri besi dan keluli adalah sektor strategik yang penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Industri ini menyokong sektor utama seperti infrastruktur, pembinaan dan pembuatan, justeru tanpa amalan perdagangan yang adil, pengeluar keluli Malaysia berisiko dipinggirkan oleh import yang dijual pada harga tidak adil.

“Justeru, perkara ini boleh membawa kepada penutupan kilang, kehilangan pekerjaan dan kelemahan asas industri negara.

“MISIF kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pembuat dasar bagi melindungi kepentingan industri keluli domestik dan menegakkan amalan pasaran yang adil,” katanya.

Menurut MISIF, kesan langsung daripada dasar tarif AS itu masih belum dapat dipastikan, tetapi dijangka akan mempercepatkan pengalihan perdagangan, sekali gus menyebabkan lonjakan produk keluli ke Malaysia.

Katanya, China telah menggunakan negara seperti Kanada, Mexico, Brazil dan Vietnam untuk mengelakkan tarif AS.

“Sebagai tindak balas, banyak negara di Amerika Utara dan Selatan telah melaksanakan versi tarif mereka sendiri dalam tempoh enam bulan lalu bagi menghentikan lambakan produk keluli China ke negara masing-masing, namun kerosakan telahpun berlaku.

“Inilah salah satu sebab utama mengapa AS telah menarik balik pengecualian dan kelonggaran yang diberikan sebelum ini,” katanya.

MISIF berkata, dengan tarif baharu dan pengembangannya kepada produk hiliran, persekitaran baharu itu tidak lagi menjadikan negara-negara terbabit sebagai destinasi eksport yang berdaya maju.

Katanya, negara seperti China yang sebelum ini mengelak tarif serta Korea Selatan, Jepun dan Vietnam yang memperoleh pengecualian dengan kuota tahunan, berkemungkinan akan mengalihkan eksport mereka ke Malaysia.

“Vietnam dan Jepun mempunyai akses bebas dan langsung ke Malaysia melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada. Kerajaan di Asean sudah mula mengambil langkah untuk menangani lambakan ini.

“Vietnam dan Indonesia telah mengenakan tarif anti-lambakan ke atas barangan dari China dan Thailand baru-baru ini mengumumkan langkah-langkah untuk memantau import murah.

“Akses ke Indonesia, Thailand dan Vietnam kini telah diperketatkan dengan kerajaan masing-masing memberikan perhatian khusus kepada lebihan keluli yang dilambakkan ke dalam industri keluli domestik mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya