PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada 5.0 peratus pada suku keempat 2024 berbanding 5.4 pada suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aktiviti pelaburan yang kukuh disokong oleh pelaksanaan berterusan projek baharu dan projek sedia ada.
“Perbelanjaan isi rumah terus mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar yang berterusan.
“Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan terus berkembang manakala pertumbuhan import modal dan import perantaraan menjadi sederhana.
“Dari segi penawaran, pertumbuhan disebabkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan, dengan peningkatan sokongan daripada subsektor berkaitan pengguna dan berkaitan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut bank pusat itu, sektor perkilangan disokong oleh kelompok elektrik dan elektronik (E&E) dan kelompok berkaitan sumber.
“Sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan aktiviti yang mantap dalam subsektor kediaman, bukan kediaman dan pertukangan khas.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan dipengaruhi oleh penguncupan dalam sektor komoditi berikutan pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta pengeluaran minyak yang terus menurun,” katanya.
Sementara itu, BNM berkata, inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8 peratus pada suku keempat 2024 berbanding 1.9 peratus pada suku ketiga 2024.
“Perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut.,” katanya. – UTUSAN