PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka lebih tinggi daripada jangkaan bagi suku keempat 2024 pada 5.0 peratus, menjadikan pertumbuhan setahun penuh sebanyak 5.1 peratus bagi tahun tersebut.
Ketua Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, unjuran tersebut dibuat selepas mengambil kira data statistik terkini yang tersedia, sedikit melebihi jangkaan kami pada 5.0 peratus sebelum ini.
Katanya, pihaknya percaya bahawa prospek yang masih berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam negeri dan persekitaran inflasi yang menyederhana (S42024: 1.8 peratus berbanding S32024: 1.9 peratus).
“Selain itu, kami melihat tahap Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun lepas sebagai neutral, sejajar dengan penilaian Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Ini dicerminkan melalui perbelanjaan pengguna di tengah-tengah peningkatan dalam pengeluaran kad kredit (S42024: 6.3 peratus berbanding S32024: 5.7 peratus) pada suku tersebut.
“Dengan prestasi positif dalam pasaran buruh apabila kadar pengangguran mencecah paras rendah sedekad pada 3.1 peratus pada Disember tahun lepas, kami berpendapat tahap OPR akan kekal stabil pada 3.00 peratus dalam jangka pendek,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firdaus menjangkakan ekonomi Malaysia akan memulakan 2025 dengan landasan yang kukuh, didorong oleh penggunaan swasta yang berdaya tahan di tengah-tengah permintaan perayaan.
Menurutnya, ia juga akan dipacu oleh kitaran pelaburan swasta yang berterusan dan perdagangan yang teguh disokong oleh aktiviti muatan hadapan mendahului potensi tarif Amerika Syarikat (AS).
“Kami melihat pertumbuhan KDNK tahun penuh 2025 Malaysia pada 4.6 peratus, dengan risiko pertumbuhan agak berwajaran ke arah bawah disebabkan oleh faktor luaran.
“Ramalan KDNK kami sejajar dengan sempadan bawah julat anggaran rasmi 4.5 peratus hingga 5.5 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan KDNK suku keempat 2024 pada 4.9 peratus manakala pertumbuhan KDNK sebenar 2024 dianggarkan sebanyak 5.1 peratus.
“Data pada suku keempat 2024 menunjukkan prestasi yang bercampur-campur di pelbagai sektor ekonomi Malaysia iaitu Indeks Perkhidmatan meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, sedikit meningkat daripada 5.6 peratus pada suku ketiga 2024.
“Selain itu, Nilai Kerja Pembinaan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh, meningkat sebanyak 23.1 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, berbanding 22.9 peratus pada suku ketiga 2024,” katanya.
Maybank IB berkata, pertumbuhan Indeks Pengeluaran Industri perlahan, mencatatkan kenaikan 3.4 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, berbanding 3.9 peratus pada suku ketiga 2024.
Katanya, ini disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran pembuatan (suku keempat 2024: +4.5 peratus tahun ke tahun, suku ketiga 2024: +5.8 peratus tahun ke tahun) dan pengeluaran elektrik (suku keempat 2024: +3.1 peratus tahun ke tahun, suku ketiga 2024: +5.0 peratus tahun ke tahun) walaupun terdapat pengecutan yang lebih kecil dalam perlombongan.
“Bagi Pengeluaran Minyak Sawit Mentah (CPO) menunjukkan penurunan yang ketara, dengan penurunan -7.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, berbanding dengan pertumbuhan yang dilihat pada suku ketiga 2024 (+7.0 peratus tahun ke tahun).
“Selain itu, pertumbuhan pembuatan adalah bercampur, dengan industri yang berorientasikan eksport seperti produk petroleum dan kok dan kimia, produk kimia serta minyak, lemak sayuran dan haiwan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan,” katanya. – UTUSAN