ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM48.5 bilion pada tahun lalu, iaitu yang ketiga tertinggi di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, prestasi pelaburan 2024 itu menunjukkan pertumbuhan positif, iaitu meningkat sebanyak RM5.4 bilion berbanding RM43.1 bilion pada tahun sebelumnya.
“Mengikut data yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), prestasi FDI yang direkodkan sehingga suku ketiga tahun lalu adalah sebanyak RM18 bilion.
“Namun, pada suku keempat, kita berjaya meningkatkan jumlah pelaburan itu dengan merekodkan nilai FDI berjumlah RM30.5 bilion dalam tiga bulan terakhir itu,” katanya semasa merasmikan kilang Hab Halal Pertama Paris Baguette di Nusajaya Tech Park, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han; Pengasas Berjaya Corp. Bhd., (BCorp), Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paris Baguette Asia Pacific, Hana Lee.
Berdasarkan statistik dikeluarkan MIDA, Selangor merekodkan FDI tertinggi dalam negara, iaitu RM101.1 bilion, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32 bilion).
Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar FDI di Johor dengan nilai RM34 bilion, manakala sektor pembuatan menyumbang RM14.2 bilion tahun lalu.
Onn Hafiz berkata, prestasi pelaburan yang positif itu membuktikan pentingnya kerjasama rentas sempadan yang menjana limpahan ekonomi.
Katanya, rakan kongsi seperti Paris Baguette merupakan testimoni yang menunjukkan Johor mahu bekerja dengan yang terbaik dalam meneroka peluang pelaburan.
“Kami melihat Korea Selatan sebagai rakan kongsi penting bagi Johor dari segi pertumbuhan ekonomi, banyak yang boleh dipelajari daripada salah satu nama besar dalam ekonomi dunia.
“Ini apa yang kita mahu lakukan di negeri ini. Johor turut menimba ilmu dari negara lain seperti Singapura, Jepun, negara-negara Asia Barat dan Shenzhen (China), ini penanda aras yang Johor mahu contohi,” katanya. – UTUSAN