PETALING JAYA: Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 54.5 peratus kepada RM256.1 juta pada tahun kewangan 2024 berbanding RM165.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu dipacu oleh peningkatan 21.7 peratus dalam hasil tahunan tahun ke tahun dalam tempoh itu, meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.3 bilion dalam tahun kewangan 2023.
Selain itu, keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) bagi tahun penuh 2024 pula merekodkan sebanyak RM346.2 juta berbanding RM186.92 juta dalam tahun penuh 2023, menunjukkan lonjakan luar biasa sebanyak 85.2 peratus daripada tahun sebelumnya.
JPG dalam kenyataan berkata, bagi suku keempat 2024, PBT melonjak 47.4 peratus kepada RM104.3 juta daripada RM70.7 juta dalam suku keempat 2023.
“Secara berterusan, keuntungan bersih meningkat 29 peratus kepada RM79.9 juta dalam tempoh suku keempat 2024 berbanding RM61.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
“Prestasi kukuh kumpulan bagi tahun kewangan 2024 mencerminkan keunggulan operasi serta strategi perniagaan yang optimum.
“JPG mencatatkan peningkatan 9.3 peratus tahun ke tahun dalam pengeluaran Buah Tandan Segar (FFB) kepada 1.1 juta matrik tan (MT dan peningkatan hasil kepada 22.4 MT/Ha dalam tempoh itu,” katanya.
Jelasnya, kejayaan operasi itu diperkukuhkan oleh lonjakan 10.2 peratus dalam jumlah penghantaran minyak sawit mentah (CPO) kepada 298,024 MT daripada 270,347 MT dan peningkatan 6.6 peratus peratus dalam jumlah penghantaran isirung sawit (PK) kepada 77,436 MT dalam tahun kewangan 2024 daripada 72,675 MT dalam tempoh sama tahun sebelum.
“Ia turut dibantu oleh kenaikan 8.6 peratus dalam harga jualan purata CPO kepada RM4,826/MT dan peningkatan 29.3 peratus dalam harga jualan purata PK kepada RM3,543/MT,” ujarnya.
Lembaga Pengarah kumpulan telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.75 sen sesaham bagi suku ini, memberikan ganjaran kepada pemegang saham dengan jumlah dividen keseluruhan sebanyak 5.25 sen sesaham bagi tahun ini.
Ini adalah berdasarkan pendapatan sesaham tahunan sebanyak 10.29 sen, dikira berdasarkan 2.50 bilion saham tertunggak selepas penyenaraian.
Dengan ini, jumlah pembayaran dividen adalah 51 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) bagi tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, secara keseluruhan, JPG mencapai satu lagi pencapaian cemerlang pada 2024 hasil usaha gigih pasukannya, inisiatif strategik, dan komitmen teguh terhadap pencapaian hasil.
“Ini termasuk kejayaan penyenaraian JPG di Pasaran Utama Bursa Malaysia, permintaan positif daripada terbitan Sukuk kami, serta kemasukan kami ke dalam sektor hiliran melalui perjanjian usaha sama dengan Fuji Oil Asia dan pembangunan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (ISPOC).
“Dengan bimbingan penuh daripada Lembaga Pengarah, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan dalam perjalanan pertumbuhan serta memperluaskan sumber pendapatan melebihi perladangan huluan semata-mata.
“Tahun ini, kami tetap teguh dalam komitmen untuk mencapai kejayaan dan akan terus berusaha untuk kecemerlangan di setiap peringkat, memperkukuhkan keupayaan teras kami, sambil meletakkan diri untuk pertumbuhan lestari serta merebut peluang baharu,” katanya. – UTUSAN