Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 4.4 peratus - Utusan Malaysia

Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 4.4 peratus

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 159.9 mata pada suku keempat 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 159.9 mata pada suku tahun keempat 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan 4.4 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang tumbuh 5.3 peratus kepada 145.9 mata.

“Ini diikuti oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 4.2 peratus dan 2.5 peratus.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum naik 1.0 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor (2.5 peratus) dan perdagangan runcit (1.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Dari sudut prestasi mengikut subsektor, beliau berkata, pertumbuhan positif 5.3 peratus bagi indeks volum Perdagangan borong dipacu oleh jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dengan 11.8 peratus.

“Ini diikuti oleh perdagangan borong tanpa pengkhususan (8.3 peratus), Jualan borong berdasarkan kontrak atau yuran (7.8 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (7.6 peratus), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (5.0 peratus) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (4.9 peratus).

“Sebaliknya, bagi perbandingan suku tahunan, subsektor ini turun -0.2 peratus berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi indeks volum perdagangan runcit, beliau berkata, pertumbuhan positif sebanyak 4.2 peratus dalam perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit bahan api kenderaan dengan 7.0 peratus.

“Penyumbang lain, termasuk Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (6.3 peratus), jualan runcit di gerai dan pasar (5.4 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (5.0 peratus), Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (4.4 peratus) dan jualan runcit di kedai pengkhususan (3.9 peratus).

“Bagi perbandingan suku tahunan, perdagangan runcit menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus.

“Indeks volum Kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan positif 2.5 peratus, disokong oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motorsikal dengan 15.5 peratus.

“Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat masing-masing dengan 8.7 peratus dan 2.8 peratus,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi perbandingan suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif 2.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

“Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, perdagangan borong dan runcit merosot -3.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2024.

“Ini disebabkan oleh pertumbuhan negatif dalam semua kumpulan, terutamanya dalam subsektor Kenderaan bermotor dengan -16.0 peratus,” katanya.

Bagi prestasi sektor ini untuk keseluruhan 2024, indeks volum meningkat sebanyak 4.3 peratus untuk mencapai 156.6 mata.

Pertumbuhan itu disokong oleh subsektor Kenderaan bermotor yang meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 135.5 mata, diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong dengan peningkatan masing-masing sebanyak 4.4 peratus dan 4.1 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya