PETALING JAYA: Malaysia merekodkan lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) RM11.4 bilion pada suku keempat 2024, menghasilkan lebihan RM32.8 bilion bagi keseluruhan tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Akaun kewangan pula mencatatkan aliran keluar bersih RM5.8 bilion pada suku itu, menyumbang kepada jumlah aliran keluar bersih RM14.8 bilion bagi 2024.
Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga melonjak kepada RM18.4 bilion pada suku itu, menjadikan nilai tahunan berjumlah RM47.4 bilion, manakala aliran keluar Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) merekodkan RM0.7 bilion berjumlah RM36.4 bilion pada 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, lebihan yang berterusan dalam Imbangan Akaun Semasa Malaysia pada suku itu didorong oleh eksport bersih barangan yang kukuh serta prestasi perdagangan perkhidmatan yang menggalakkan.
“Akaun Barangan mencatatkan eksport bersih sebanyak RM37.4 bilion pada suku keempat 2024, meningkat dengan signifikan daripada RM23.1 bilion pada suku sebelumnya, manakala jumlah eksport barangan mencapai RM294.5 bilion, pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus secara suku tahunan.
“Komoditi eksport utama Malaysia seperti elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit menunjukkan permintaan tinggi daripada rakan dagang utama, terutamanya Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Sebaliknya, import barangan berjumlah RM257.1 bilion menurun sebanyak 3.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
“Penurunan ini, terutamanya disebabkan oleh pengurangan import dalam barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. China, Singapura dan AS kekal sebagai rakan import utama Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Selain eksport bersih barangan yang stabil, beliau berkata, CAB Malaysia terus mengukuh disokong oleh Akaun Perkhidmatan yang mencatatkan penurunan yang signifikan dalam defisit kepada RM149.4 juta pada suku keempat tahun lalu.
“Prestasi yang lebih baik dalam akaun ini didorong oleh lebihan dalam perjalanan serta peningkatan terimaan pada perkhidmatan pembuatan dan perkhidmatan perniagaan lain.
“Eksport perkhidmatan berkembang sebanyak 2.2 peratus bagi suku tahunan kepada RM65.2 bilion, manakala import mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada RM65.4 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata, pada akhir tempoh 2024, kedudukan FDI merekodkan RM985.1 bilion, manakala kedudukan DIA bernilai RM618.1 bilion.
“Jumlah kedudukan aset kewangan negara bernilai RM2.47 trilion, diimbangi dengan jumlah liabiliti sebanyak RM2.48 trilion.
“Sehubungan itu, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) menyumbang liabiliti bersih sebanyak RM6.7 bilion, manakala Rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM520.1 bilion,” katanya. – UTUSAN